Saturday, 30 March 2013

MB arah prosiding hina mahkamah pada Ahmad Said



7:15PM Mac 30 2013 
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibraim mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga mengarahkan Sankara Nair mengambil apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai dan setimpal dengan tindakan yang dilakukan defendan apabila gagal, enggan dan ingkar terhadap perintah mahkamah yang dimaterai secara persetujuan pada 19 Mac lalu.

NONEAntara terma persetujuan yang direkodkan di hadapan hakim Datuk Lau Bee Lian: Ahmad Said (kanan) melafazkan permohonan maaf di mahkamah terbuka dan menyiarkan permohonan maaf tersebut di muka depan dua akhbar harian berbahasa Inggeris, New Straits Times danThe Star dalam tempoh empat hari dari tarikh tersebut.

"Mereka sehingga hari ini masih gagal melaksanakannya walaupun peguam saya telah menuntut defendan berbuat demikian.

"Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia secara terang-terangan telah menghina mahkamah kerana dengan sengaja tidak mematuhi dan menghormati perintah mahkamah," kata Khalid.

Ahmad Said pada 19 Mac lalu memohon maaf di mahkamah terbuka kepada Khalid berhubung kenyataan yang dibuatnya pada 2009 dan bersetuju membayar kos RM10,000.

Friday, 29 March 2013

Mahkamah Persekutuan: Kekalkan Hukuman Mati Terhadap Wanita Warga India


MAHKAMAH

 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang wanita warganegara India kerana mengedar 2.9 kg ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, empat tahun lepas.
Panel hakim lima anggota diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak rayuan Fazila Bee Abdul Kareem, 64, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati dia bersalah mengedar dadah dan dihukum mati.
Fazila Bee, yang memakai baju kurung berwarna hijau tidak menunjukkan sebarang emosi apabila keputusan itu diumumkan.
Seorang jurubahasa Tamil kemudian menjelaskan kepada warga emas itu keputusan mahkamah dan bahawa Lembaga Pengampunan boleh meringankan hukuman mati kepada penjara.
Zulkefli dalam keputusannya berkata selepas mempertimbangkan hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati sabitan wanita itu adalah betul kerana terdapat bukti yang mencukupi yang dikemukakan pendakwaan semasa perbicaraan kes.
Fazila Bee, ibu kepada tiga anak dari Chennai, didakwa mengedar dadah di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada 2.30 petang 13 Februari 2009.
Pada 20 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan kesalahannya dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Fazila Bee selepas keterangan pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam pembelaannya, Fazila Bee mendakwa dia datang ke Malaysia untuk mencari kerja dan ketika berada di lapangan terbang Chennai dia telah diminta oleh seorang wanita untuk mendaftar masuk sebuah beg kerana wanita itu akan bekerja dengannya di tempat yang sama di Malaysia.
Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari berkata beliau meragui tertuduh kerana berpendapat umurnya lebih daripada itu dan tidak mungkin ada orang yang ingin mengambilnya sebagai pembantu rumah.
Beliau berkata keterangan tertuduh didapati penuh dengan percanggahan serta tidak langsung dapat diterima akal.
Rayuan Fazila Bee ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 10 April tahun lepas.
Fakta kes itu mendedahkan pegawai kastam mendapati dadah itu disembunyikan di dalam beg yang dibawanya sebaik tiba di KLIA.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache berkata berdasarkan keseluruhan bukti, Fazila Bee mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan terhadap dadah itu yang membolehkannya disabitkan terhadap tuduhan mengedar.
Peguam yang mewakili T. Suresh berhujah wanita itu tidak mengetahui kandungan beg berkenaan dan dia berhak dibebaskan berdasarkan prinsip undang-undang yang ada.
Beliau berkata keterangannya di mahkamah adalah konsisten dengan kenyataan beramaran iaitu begnya diperiksa oleh seorang wanita yang sepatutnya mengikuti Fazila Bee ke Malaysia tetapi wanita itu tidak muncul. - BERNAMA

Sunday, 24 March 2013

Pembelaan Tutup Kes Bunuh Sosilawati dan Tiga Individu Lain



Datuk Sosilawati Lawiya
SHAH ALAM: Selepas memanggil seramai 30 saksi pada perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang mengambil masa hampir dua tahun di Mahkamah Tinggi di sini, pihak pembelaan menutup kesnya pada Jumaat.
Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan 9 dan 10 Mei ini untuk mendengar hujahan di akhir kes pembelaan sebelum memutuskan pada 23 Mei ini sama ada keempat-empat tertuduh akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.
Sebanyak 742 eksibit ditender dalam perbicaraan selama 110 hari bermula pada 4 Julai 2011, yang turut membabitkan nota prosiding kira-kira 6,000 muka surat.Pihak pendakwaan sebelum ini mengemukakan 108 saksi.
Bekas peguam, N.Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, 21, R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 33, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd Ghani dan Siti Rohaida Che Hamid, sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Khatavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.
Terdahulu, ketika menyoal balas saksi terakhir pembelaan, Roslie Sulle, 36, Manjeet Singh menarik perhatian mahkamah apabila beliau menunjukkan demonstrasi dengan memasukkan abu ke dalam sebuah bekas plastik berwarna biru sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik.
Roslie merupakan peguam yang mewakili mekanik, K.Sarawanan dan pekerja ladang U.Suresh yang menghadapi empat pertuduhan melupuskan bukti dalam pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober 2010.
Sarawanan, 22, dan Suresh, 29, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Manjeet Singh seterusnya meminta Roslie memegang beg plastik berisi bekas biru berkenaan sebelum meminta saksi membuang beg plastik itu ke atas lantai.
"Saya mahu beritahu anda berlaku pergaduhan di rumah saya malam tadi. Mann Singh dan Mahinder Singh sedang menari dan saya tidak suka apa yang mereka buat, jadi saya pukul dan bakar mereka. Sekarang saya bagi anda ini dan anda telah buangkannya.
"Kemudian anda didakwa di mahkamah, jadi anda telah melakukan kesalahan? Adakah anda tahu siapa Mahinder dan Mann Singh?," kata Manjeet Singh.
"Saya tidak tahu," jawab Roslie.Bolehkah anda membantu saya untuk mengasingkan yang mana Mahinder Singh dan Mann Singh daripada bekas itu," kata Manjeet Singh dan Rosli hanya tersenyum tidak memberi sebarang jawapan.
"Saya tidak bergurau. Saya menunjukkan bagaimana tidak masuk akal tindakan anda dan Timbalan Pendakwa Raya (di Mahkamah Majistret apabila Sarawanan mengaku bersalah). Jadi bolehkah anda mengasingkan Mahinder Singh dan Mann Singh," soalnya dan Roslie menjawab tidak. "Adakah anda melupuskan Mahinder dan Mann? Bagaimana anda tahu ia bukan abu kucing atau anjing saya?," kata Manjeet Singh. "Pada masa itu saya dan Puravelan (peguam M. Puravelan) telah berbincang dan beliau (Puravelan) yang meneliti fakta kes. Saya hanya menyediakan mitigasi (rayuan)," jawab Roslie.
"Jadi anda mengatakan Puravelan tidak tahu fakta kes itu tidak lengkap dan ia tidak menunjukkan sebarang kesalahan? Adakah anda dengar fakta kes itu di mahkamah atau anda tidak berada di mahkamah," soal Manjeet Singh.
"Saya berada dalam mahkamah," jawab Roslie. "Saya beritahu anda ini adalah sebahagian konspirasi untuk menjauhkan mereka jadi fakta kes boleh digunakan untuk perbicaraan lain," kata Manjeet Singh. "Tidak setuju," jawab Roslie. -BERNAMA

Thursday, 21 March 2013

Anwar fail saman fitnah ke atas Papagomo



Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah ke atas penulis blog Papagomo selepas individu yang dikaitkan dengan Umno itu gagal memohon maaf dan menarik balik satu siri gambar lucah.

Penulis blog itu yang nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, mendakwa foto berkenaan merupakan ramakan daripada video yang didakwa menujukkan keintiman Anwar dengan seorang lelaki.

Peguam dan naib presiden PKR N Surendran ketika memfailkan saman itu berkata notis 48 jam untuk Papagomo menarik balik dan memohon maaf atas penerbitan berkenaan telah tamat dan penulis blog tersebut mengancam untuk memuatkan video terbabit.

Peguam itu berkata Anwar juga tidak akan membuat laporan polis atau aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia memandangkan tindakan itu sudah banyak kali dilakukan sebelum ini.

“Nampaknya agensi ini tidak akan bertindak ke atas aduan keran mereka adalah alat Umno dan BN. Memfailkan tindakan di mahkamah adalah lebih baik,” katanya.

Anwar menamakan Wan Muhammad Azri sebagai defendan tunggal. Selain kuantum, MP Permatang Pauh itu turut menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Wednesday, 20 March 2013

E Book Peperiksaan dan Temuduga PJS

E Book Peperiksaan dan Temuduga PJS mestilah dibaca bersama dengan Tips Temuduga PJS.  Apabila anda membaca kedua-duanya maka persediaan anda untuk temuduga sangat mantap.  Sila dapatkan kedua-dua e book tersebut melalui e mail: yemhassan2004@yahoo.com

Monday, 18 March 2013

Kes Sosilawati: Peguam Kata Tarik Diri Selepas Terima Arahan K Saravanan



SHAH ALAM: Seorang peguam memberitahu perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Isnin bahawa beliau menarik diri daripada mewakili K.Sarawanan dalam kes melupus bahan bukti pembunuhan itu atas arahan anak guamnya.
Saksi kesembilan pembelaan, A.S. Dhaliwal bagaimanapun tidak ingat sama ada beliau ada memaklumkan kepada Majistret Hurman Hussain yang mengendalikan prosiding kes di Mahkamah Telok Datok, Banting bahawa Sarawanan yang memberi arahan supaya beliau menarik diri daripada mewakilinya.
Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Dhaliwal berkata, beliau sebenarnya tidak berjumpa dengan bapa Sarawanan, N. Kandasamy (saksi ke-15 pembelaan) pada hari Sarawanan dituduh di Mahkamah Majistret Telok Datok pada 15 Oktober 2010, sebaliknya menemui anggota keluarga Kandasamy yang lain.
"Berlaku sedikit kesilapan. Dia (Kandasamy tidak ada di sana...Jegalagan dan Rengga ada di sana," katanya.
Dalam keterangannya sebelum ini, Dhaliwal memberitahu Kandasamy berada di Mahkamah Majistret Telok Datok pada hari Sarawanan dituduh tetapi Kandasamy ketika memberi keterangan memberitahu bahawa beliau tidak hadir pada tarikh tersebut kerana berada di hospital.
Pada 15 Oktober 2010, Sarawanan, 22, dan pekerja ladang, U. Suresh, 29, mengakubersalah terhadap empat pertuduhan melupuskan bukti dalam pembunuhan itu diMahkamah Majistret Telok Datok.

Dakwaan Fitnah: Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dijangka Mohon Maaf Pada MB Selangor



KUALA LUMPUR: Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dijangka akan mengeluarkan permohonan maaf kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mahkamah terbuka pada Selasa.
Ini berikutan penyelesaian oleh kedua-dua pihak berhubung saman fitnah yang difailkan Khalid terhadap SPRM dan dua lagi mengenai dakwaan salah guna kuasa.
Perkara itu dinyatakan di hadapan Hakim, Lau Bee Lan dalam kamar mahkamah pada Isnin.
Khalid memberitahu pemberita di luar Mahkamah Tinggi di sini bahawa SPRM menerusi bekas ketua pesuruhjayanya, akan membuat permohonan maaf pada Selasa.
Peguam Kanan Persekutuan, Noorin Badaruddin mewakili defendan manakala peguam S. N. Nair mewakili Khalid.
Pada 27 April 2009, Khalid memfailkan saman terhadap Ahmad Said, SPRM dan kerajaan kerana kenyataan fitnah bahawa beliau menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Menteri Besar.
Dalam samannya, Khalid mendakwa bahawa satu kenyataan oleh Ahmad, dalam kapasitinya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, dalam satu sidang media pada 20 Februari 2009, bahawa SPRM mempunyai bukti untuk menunjukkan Khalid menyalahgunakan kuasannya berhubung penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu untuk sebuah majlis Hari Raya Aidiladha bagi kawasan parlimen Bandar Tun Razak, sebagai satu kenyataan berbaur fitnah.
Khalid memohon injunksi untuk menghentikan defendan mengeluarkan lagi kenyataan seumpamanya di mana beliau mendakwa ia menimbulkan kebencian awam terhadapnya dan menjejaskan reputasinya.
Beliau turut berkata, SPRM bertindak di luar bidang kuasanya dan atas tindakan tersebut, telah melampaui kuasa dan fungsi Peguam Negara.
Dalam pembelaannya, Ahmad menyatakan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang pernyataan fitnah terhadap Khalid yang menjejaskan repurtasi Menteri Besar itu.
Dalam satu kenyataan pembelaan yang difailkan pada 31 Julai 2009, Ahmad berkata, beliau mempunyai hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang serta tugas moral dan/atau sosial untuk mengeluarkan kenyataan yang melibatkan kepentingan awam.



Friday, 15 March 2013

Permohonan MP semak daftar pemilih ditolak




Usaha anggota Parlimen Klang Charles Santiago untuk menyemak semula daftar pemilih utama dan tambahan untuk kawasan parlimennya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Hakim Vernon Ong berkata, mahkamah terikat dengan Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958 yang menyebut daftar pemilih yang sudah diwartakan tidak boleh disemak kembali.

MNONEahkamah juga tidak boleh memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memberikan respon kepada perkara yang ditimbulkan oleh anggota Parlimen, kerana tiada peruntukan yang membenarkannya.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan, permohonan Charles (atas, berbaju putih) bersifat remeh dan menyusahkan.

"Oleh itu, mahkamah menolak permohonan ini, dan oleh kerana kes ini berkaitan kepentingan awam, mahkamah memutuskan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos," kata hakim.

Sebagai respon kepada keputusan itu, Charles berkata, mahkamah gagal menangani isu utama bahawa Seksyen 9A sebenarnya ultra vires dengan perlembagaan persekutuan.

Mahkamah ketepi sabitan, hukuman ADUN Lenggeng




Mahkamah Tinggi ketepi sabitan ADUN Lenggeng Mahkamah Tinggi Seremban hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM20,000 ADUN Lenggeng, Mustafa Salim bagi kesalahan menerima rasuah, lima tahun lepas.
Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mustafa, 53, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen terhadapnya pada 1 April 2011.
Dalam penghakimannya, Siti Mariah berkata Hakim Mahkamah Sesyen Amran Jantan terkilaf semasa menjatuhi hukuman itu ke atas Mustafa.
"Selepas meneliti keterangan semua saksi dan bukti daripada kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan keterangan semua saksi dan bukti yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak.
"Daripada keterangan saksi dan tertuduh, jelas menunjukkan wang berkenaan adalah untuk tujuan kebajikan serta terdapat bukti dan dokumen yang menyokong hujah berkenaan," katanya.
ADUN BN itu didakwa menerima suapan RM2,000 daripadaM Manimaran sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan berkaitan projek pasir.
Mustafa didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, dekat Seremban pada 5 petang, 31 Ogos 2008 mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Dia dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari manakala Mustafa diwakili peguam Zamani Ibrahim dan Hisyam Teh Poh Teik.
Sementara itu, Mustafa yang ditemui di luar mahkamah selepas prosiding berkenaan enggan memberi sebarang komen kepada wartawan.
- Bernama

Thursday, 14 March 2013

Tian Chua mengaku tak bersalah tuduhan hasutan

14.03.2013
Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini mengaku tidak bersalah bagi tuduhan mengikut akta hasutan atas kenyataan yang mengaitkan UMNO dengan krisis di Lahad Datu-yang didakwa dikeluarkannya.  Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan ikat jamin sebanyak RM 5,000 dengan seorang penjamin ke atas MP Batu itu.  Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 atas kenyataan yang didakwa disebutkanya pada 11 Pagi, 1 Mac lalu.

Tian diwakili oleh N Surendran, Lateefa Koya, William Leong, Eric Paulsen, dan dua lagi peguam.

Sunday, 10 March 2013

Anwar fail saman fitnah

09.03.2013
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan tiga individu dalam organisasi tersebut berikutan penyiaran berita yang didakwa memfitnah pemimpin itu berkaitan isu pencerobohan di Lahad Datu.

Saman yang difailkan diPejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi, melalui Tetuan Daim & Gamany turut menamakan Editor akhbar Utusan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Ishak, Pengarah Urusan Kumpulan TV3, Datuk Shahruddin Abdul Latif; dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng, sebagai defenden.

Peguam, N Surendran, yang mewakili Anwar memberitahu media, tuntutan saman fitnah dikemukakan kerana defenden telah mengeluarkan kenyataan fitnah dan menipu terhadap Anwar kononnya ketua pembangkang itu adalah dalang dalam insiden di Lahad Datu.

Thursday, 7 March 2013

Bayaran fail suratcara mahkamah naik 100%

7.3.2013
Bermula 1 Mac lalu, bayaran pemfailan suratcara mahkamah sudah dinaikkan sebanyak seratus peratus.  Contohnya Notis Rayuan keMahkamah Rayuan dikenakan sebanyak RM600, yang sebelumya RM300.  Selain itu, Notis Rayuan (selepas perbicaraan) juga dikenakan sebanyak RM600, berbanding RM300 sebelum ini.  Manakala, bagi bayaran pengeluaran geran (Kod 31 dan 32) telah dinaikkan kepada RM440, berbanding RM220.  Dengan peningkatan kos bayaran itu, ramai pihak yang terkejut apabila diberitahu mengenainya ketika berurusan di mahkamah.  Bagi Peguam-Peguam yang sentiasa berurusan dengan mahkamah, perkara tersebut memang telah sedia maklum berdasarkan berkuatkuasanya Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang lalu.