Monday 18 March 2013

Kes Sosilawati: Peguam Kata Tarik Diri Selepas Terima Arahan K Saravanan



SHAH ALAM: Seorang peguam memberitahu perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Isnin bahawa beliau menarik diri daripada mewakili K.Sarawanan dalam kes melupus bahan bukti pembunuhan itu atas arahan anak guamnya.
Saksi kesembilan pembelaan, A.S. Dhaliwal bagaimanapun tidak ingat sama ada beliau ada memaklumkan kepada Majistret Hurman Hussain yang mengendalikan prosiding kes di Mahkamah Telok Datok, Banting bahawa Sarawanan yang memberi arahan supaya beliau menarik diri daripada mewakilinya.
Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Dhaliwal berkata, beliau sebenarnya tidak berjumpa dengan bapa Sarawanan, N. Kandasamy (saksi ke-15 pembelaan) pada hari Sarawanan dituduh di Mahkamah Majistret Telok Datok pada 15 Oktober 2010, sebaliknya menemui anggota keluarga Kandasamy yang lain.
"Berlaku sedikit kesilapan. Dia (Kandasamy tidak ada di sana...Jegalagan dan Rengga ada di sana," katanya.
Dalam keterangannya sebelum ini, Dhaliwal memberitahu Kandasamy berada di Mahkamah Majistret Telok Datok pada hari Sarawanan dituduh tetapi Kandasamy ketika memberi keterangan memberitahu bahawa beliau tidak hadir pada tarikh tersebut kerana berada di hospital.
Pada 15 Oktober 2010, Sarawanan, 22, dan pekerja ladang, U. Suresh, 29, mengakubersalah terhadap empat pertuduhan melupuskan bukti dalam pembunuhan itu diMahkamah Majistret Telok Datok.

No comments:

Post a Comment