Wednesday 8 January 2020

CEO buat laporan palsu konon disamun RM1 juta

Polis menahan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat jual beli emas dan pemandunya pada Ahad, kerana membuat laporan polis palsu kononnya wang tunai dan pelbagai barangan kemas bernilai lebih RM1 juta, disamun dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bandar Perda, di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 26 tahun bersama pemandunya (lelaki) berumur 30 tahun itu, membuat laporan polis mendakwa disamun seorang lelaki di hadapan sebuah stesen minyak, dalam kejadian 3.50 petang, Sabtu lepas.
"Dalam laporan polis itu, CEO terbabit mendakwa dia bersama pemandu keluar dari sebuah kedai emas di Bandar Perda, selepas selesai menjalankan urusan perniagaan, sebelum mereka yang menaiki sebuah kereta berhenti di stesen minyak untuk membeli air.


    "Ketika kejadian, lelaki itu memberitahu dia berada dalam kereta, manakala pemandunya turun untuk membeli air sebelum mendakwa seorang lelaki secara tiba-tiba masuk melalui pintu belakang kereta, dan terus mengambil beg mengandungi wang tunai serta barang kemas, sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
    Katanya lelaki itu mendakwa beg tersebut mengandungi wang tunai berjumlah RM418,000 dan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM600,000, yang disamun lelaki dalam kejadian tersebut.
    Nik Ros Azhan berkata siasatan lanjut pihaknya mendapati CEO syarikat jual beli emas yang beroperasi di Batu Pahat, Johor itu sebenarnya membuat laporan palsu dan lelaki itu telah berpakat bersama pemandu serta dua lagi rakan mereka, yang bertindak sebagai penasihat serta penyamun dalam kes tersebut, kerana mahu membuat tuntutan insurans.
    "Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di stesen minyak itu mendapati, memang terdapat kejadian samun tersebut, namun siasatan polis mendapati ia hanya ‘olok-olok’ supaya ia dirakam CCTV di situ, untuk menyakinkan polis berhubung penipuan mereka," katanya.
    Menurutnya, siasatan lanjut juga mendapati beg yang konon mengandungi pelbagai barangan kemas seberat 2,864.99 gram serta wang yang dilarikan ‘penyamun’ dalam kejadian itu, dibuang dalam longkang di kawasan berhampiran, sebenarnya hanya mengandungi batu.
    Beliau berkata susulan itu, polis menahan dua lagi lelaki berusia 51 dan 23 tahun, selepas didapati bersubahat dengan suspek apabila bertindak sebagai penasihat dan juga ‘penyamun’, dalam kegiatan jenayah yang dirancang mereka.
    "Empat lelaki itu direman selama enam hari, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.
    - Bernama

    No comments:

    Post a Comment