Tuesday, 9 October 2018

Mahkamah: Dr M teruskan cabaran lantikan Raus, Zulkifli

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tetap meneruskan cabarannya mengenai isu isu lantikan bekas ketua hakim negara (CJ) Tun Md Raus Sharif dan bekas presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudun, walaupun Mahkamah Persekutuan enggan menjawab isu berkenaan pada awal bulan ini.
Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan tarikh pendengaran permohonan Mahathir itu pada 14 Januari tahun hadapan susulan pengurusan kes dibuat.
Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mahathir berkata anak guamnya meneruskan prosiding rayuan kerana beliau memerlukan mahkamah tertinggi negara untuk mentafsirkan peruntukan yang diperlukan dalam perlembagaan.
Beliau berkata seorang peguam dari firmanya Nur Dalila Husna Azmi telah pergi ke Mahkamah Rayuan untuk pengurusan kes hari ini manakala peguam persekutuan Shaiful Nizam Shahrin juga hadir sama.

Awal bulan ini, panel tujuh hakim yang bersidang memutuskan cabaran Badan Peguam mengenai pelantikan berkenaan. Hakim Tan Sri Zainun Ali berkata hal tersebut telah menjadi akademik selepas perletakan jawatan Md Raus dan Zulkefli pada Julai lalu.
Dilaporkan sebelum ini, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Mahathir atas alasan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak berhakmenasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik dua hakim itu ke dua jawatan tertinggi kehakiman negara.
Mahathir tiada hak undang-undang
Hakim Azizah Nawawi dalam alasan bertulisnya berkata di bawah Perkara 122B (1) Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri memberi nasihat selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
"Di bawah Artikel 40 (1A), Agong akan bertindak atas nasihat yang diberikan, oleh itu, di bawah kedua-dua peruntukan ini, tidak ada hak undang-undang kepada Mahathir untuk mengarahkan perdana menteri mengajukan nasihat kepada Agong," katanya.

Mahathir dalam permohonan semakan kehakimannya mahu perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan.
Pengerusi HARAPAN itu memfailkan dua permohonan, pertama terhadap Raus pada Ogos lalu dan kedua terhadap Zulkefli pada September 2017 kerana kedua-dua hakim itu telah mencapai usia persaraan wajib 66 tahun dan 6 bulan.
Cabaran Mahathir yang pertama ditolak mahkamah pada ketika itu sebelum pihak lain juga membuat cabaran.

No comments:

Post a Comment