Saturday 18 August 2018

Lelaki parah ditetak jiran dengan cangkul

Seorang lelaki cedera parah ditetak dengan sebatang cangkul oleh jirannya dalam satu pertengkaran di rumah mangsa di Kampung Manggis di Butterworth petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata isteri mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis setelah melihat tangan kanan suaminya cedera parah.
“Berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 34 tahun itu datang ke rumah mangsa lalu merosakkan kotak fius elektrik dan paip air rumah terbabit.
"Dia juga memaki hamun mangsa sambil memegang cangkul sebelum menghayunnya dan terkena tangan kanan lelaki berkenaan.
"Sebelum kejadian itu mangsa telah membuat laporan polis kerana suspek mengugut hendak mencederakannya menggunakan sebilah parang dipercayai berpunca perselisihan faham antara mereka sebelum ini," kata Noorzainy di Butterworth hari ini.
Menurut Noorzainy mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan doktor mendapati tangan kanan lelaki itu luka dan retak akibat kejadian berkenaan.
Katanya susulan kejadian itu, polis menahan suspek di Kampung Manggis pada pukul 11 malam tadi dan merampas sebatang cangkul yang digunakan dalam insiden tersebut.
"Lelaki yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah itu kini direman untuk siasatan lanjut. Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 326 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.


Sementara itu, beliau berkata polis menahan 10 lelaki termasuk lapan remaja berusia 15 hingga 28 tahun kerana berlumba haram serta merempit di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dalam operasi khas Samseng Jalanan awal pagi ini dan awal pagi semalam.
"Dalam operasi bermula pukul 12.30 tengah malam hingga 7 pagi semalam, lapan remaja termasuk enam pelajar ditahan manakala dua lagi ialah pekerja cuti kereta dan pesawah.
“Mereka ditahan ketika sedang berlumba dan ujian air kencing mendapati pesawah berkenaan positif dadah," katanya.
Bernama

No comments:

Post a Comment