Wednesday, 28 December 2016

Mengajar universiti untuk belajar

Beberapa tahun kebelakangan ini beberapa peristiwa yang melibatkan mahasiswa digantung pengajian telah berlaku. Pada kebisaanya mereka yang didapati bersalah akan melakukan semakan undang-undang kepada universiti, dan pada kebisaaanya mereka akan menang di mahkamah awam seperti yang berlaku pada saudara Fahmi Zainal.
Terbaharu 4 orang mahasiswa Universiti Malaya telah didapati bersalah atas pertuduhan masing-masing berkaitan dengan demonstrasi Tangkap Malaysian Offical One yang berlangsung Ogos tahun ini. Tiga daripada mereka digantung satu semester manakala seorang lagi dikenakan denda.
Jika kita meneliti ‘jenayah’ yang dilakukan oleh kebanyakkan mahasiswa yang dikenakan tindakan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sejak akhir-akhir ini, kita akan mendapati apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang berlandaskan rasa tanggungjawab dan kebebasan berakademik.

Kita tidak mungkin melupai kisah Hanipa Mahpa dan Afiqah Zulkifli yang digantung oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia akibat menganjurkan satu forum berkenaan government service tax (GST). Pada tanah suci universiti yang di dalamnya terdapat pakar-pakar ekonomi telah menggantung dua orang pelajar yang menganjurkan forum berkenaan cukai dan menjemput wakil dari pihak pembangkang dan kerajaan.
Ketika itu saya berfikir universiti kita seperti sudah hilang kewarasannya dalam menghukum mahasiswa. Kini empat orang mahasiswa ini pula dihukum kerana terlibat dengan demonstrasi aman.
Proses yang sama akan berulang, Universiti Malaya akan ‘disaman’ oleh kempat-empat mahasiswa ini, dan saya mempunyai keyakinan bahawa keempat-empat mahasiswa ini akan menang.
Masa untuk belajar
Tapi persoalan yang ingin saya lemparkan kepada diri saya dan kita semua, adakah universiti akan belajar daripada semua ini?
Saya fikir kegagalan universiti untuk belajar daripada peristiwa-peristiwa sebelum ini adalah disebabkan beberapa faktor yang kita mungkin terlepas pandang.
Pertama sekali, saya melihat penglibatan masyarakat dalam aktiviti mahasiswa masih terlalu kurang, masyarakat masih tidak melihat mahasiswa sebagai wakil yang boleh dipercayai untuk membawa suara dan memperjuangkan hak mereka.
Saya fikir kebanyakan aktivis mahasiswa perlu lebih banyak turun ke kampung-kampung dari mereka turun ke Parlimen menghantar memorandum.
Ketika turun di kampung-kampung pula, tugas utama mahasiswa bukanlah untuk sekadar berswafoto lalu memuat naik di media sosial, tapi cuba memahami masalah-masalah besar yang dihadapi oleh penduduk kampung. Melalui masalah-masalah yang ada, mahasiswa haruslah mencari solusi dengan tidak terlalu mengharapkan ‘orang-orang besar’ untuk menyumbang, sebaliknya berusaha membantu secara berdikari walaupun pada skala yang kecil.
Apabila jalinan seperti ini terbina, maka hubungan mahasiswa-masyarakat semakin intim.
Mahasiswa akan mula faham tentang ketenatan isu yang masyarakat hadapi, dan masyarakat pula akan mula mengembalikan kepercayaan kepada mahasiswa untuk membela nasib mereka.
Kemudian apabila ada mahasiswa dianiyai oleh pihak universiti maka mahasiswa akan mendapat sokongan penuh daripada masyarakat untuk mendesak universiti memberi keadilan. Sekarang, kelihatannya perjuangan mahasiswa yang ada hanya untuk golongan yang pintar dan terpelajar.
Hal ini menyebabkan golongan masyarakat yang kurang terpelajar ‘malu’ untuk turut serta dalam perjuangan tersebut. Akhirnya gerakkan mahasiswa hanya kelihatan ‘gah’ sesama mereka tapi dipandang sebagai ‘syok sendiri’ pada masyarakat.
Selain itu, faktor kelemahan kesatuan mahasiswa nasional yang ada juga telah menyebabkan sehingga masa kini kita masih gagal untuk mengajar universiti. Mahasiswa berada pada fasa perpecahan yang sudah terlalu lama, sehingga kini kebanyakkan ‘front-front’ mahasiswa yang ada hanya sibuk bertanding untuk menjadi yang terunggul dalam kalangan gerakkan mahasiswa nasional.
Badan induk mahasiswa
Seandainya, mahasiswa mempunyai satu ‘badan induk’ mahasiswa yang bersifat inklusif dan dapat mempunyai ekonomi yang kukuh, maka pasti tidak mudah untuk universiti menghukum mahasiswa sesuka hati. Kewujudan ‘badan induk’ mahasiswa ini juga akan mengurangkan kebergantungan mahasiswa dengan ‘badan ketiga’ yang pada kebiasaanya hanya ingin mengambil kesempatan.
Seterusnya, kekurangan ‘safety net’ dalam perjuangan mahasiswa juga menyebabkan ramai mahasiswa enggan untuk turut serta dalam perjuangan mahasiswa yang agak radikal. Apabila golongan aktivis cuma berada pada bilangan yang kecil, maka mudah untuk universiti mengenakan tindakan disiplin.
‘Safety net’ yang saya maksudkan adalah bantuan dan peluang yang akan diberikan kepada mahasiswa apabila dikenakan tindakan tatatertib oleh universiti.
Sebagai contoh, apabila ada mahasiswa yang digantung maka seharusnya mereka diberikan bantuan seperti dihantar ke universiti-universiti luar negara misalnya untuk meneruskan pengajian atau diberikan peluang pekerjaan sementara menunggu untuk meneruskan pengajian.
Kemudian ‘safety net’ itu biarlah tidak bersifat selektif dan hanya diberikan kepada aktivis yang popular sahaja dan aktivis non-popular dibiarkan terkapai-kapai. Saya percaya jika gerakkan mahasiswa ada ‘safety net’ maka pasti lebih ramai mahasiswa akan lebih berani untuk vokal.
Salah satu sebab lagi yang menyebabkan mahasiswa gagal untuk mengajar universiti untuk belajar adalah kerana terlalu banyak gerakkan mahasiswa yang terlalu ‘bergantung’ dengan parti politik. Kebanyakkan parti politik pada masa kini rakus menjadikan mahasiswa sebagai ‘pawn’ dalam permainan catur politik mereka.
Solidariti mahasiswa
Mereka akan ada ketika mahasiswa memperjuangan sesuatu yang memberi keuntungan kepada mereka, dan apabila mahasiswa itu dikenakan tindakan atas perjuangan itu, mereka hilang entah ke mana. Paling jauh mereka boleh memberi solidariti pun, memberikan kata-kata simpati atau menyediakan tabung untuk membantu.
Aksi seperti ini, ketua kampung yang tak terpelajar pun boleh lakukan. Mahasiswa perlu bebas daripada cengkaman parti-parti yang oportunis dan hanya mahu mengaut keuntungan terhadap mahasiswa. Kebergantungan ini menjadikan kebanyakkan gerakkan mahasiswa menjadi ‘lemau’.
Sebagai penutup, kita harus mengakui bahawa pada hari ini universiti belum lagi belajar daripada peristiwa-peristiwa yang melibatkan mahkamah awam dan ini bermakna universiti belum lagi mempunyai rasa ‘gerun’ untuk menghukum mahasiswa atas sebab yang tidak munasabah.

Pada pandangan saya, mahasiswa era 2010-an sedang menyediakan satu tapak asas kepada gerakan akan datang, kerana kita boleh melihat kerancakkan aktivisme mahasiswa mula tumbuh semula.
Gerakkan mahasiswa perlu banyak belajar, bertoleransi, berekonomi dan tidak khusus untuk golongan-golongan tertentu sahaja. Semoga satu hari nanti universiti akan belajar.

No comments:

Post a Comment