Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meletakkan dua syarat kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika mahu beliau kembali kepada Umno.
Syarat yang pertama adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disingkirkan dari Umno, kata Mahathir.
Manakala, syarat kedua pula ialah parti itu dipulihkan selepas penyingkiran Najib.
"Kalau dia buang Najib dahulu, pulihkan Umno kepada yang asal, ada kemungkinan saya timbang (untuk kembali pada Umno)," katanya kepada wartawan selepas berceramah menyokong kempen Parti Amanah Negara (AMANAH) di Kuala Kangsar, petang ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang berkata Majlis Tertinggi Umno bersedia mempertimbangkan sekiranya bekas perdana menteri itu memohon menyertai Umno kembali.
Zahid berkata, dia berdoa kepada Allah supaya Mahathir kembali kepada Umno sebelum menghembur nafas terakhir seperti beberapa presiden sebelum ini.
"Saya berdoa kepada Allah Taala, tidak begitu jadinya," kata Ahmad Zahid.
Selain Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia ketika masih bertugas sebagai perdana menteri, tiga lagi pemimpin tertinggi parti itu - Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Tun Hussein Onn - meninggal dunia di luar Umno.
Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali keluar dari Umno awal tahun ini sebagai protes terhadap kepimpinan Najib selaku perdana menteri.
Malah Dr Mahathir kini menjadi antara tokoh paling terkedepan mengetuai kempen menjatuhkan Najib.
No comments:
Post a Comment