Friday 19 February 2016

NGO, parti politik minta Amerika bantu bebaskan Anwar


MALAYSIAKINI Anne Muhammad            
Kedutaan AS menerima memorandum daripada gabungan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik untuk dihantar kepada lima anggota tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meminta bantuan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara.
Memorandum itu diterima oleh wakil Duta AS di Kuala Lumpur hari ini setelah menerima kunjungan 12 wakil gabungan berkenaan.
Seorang daripada mereka ialah ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.
Ketika dihubungiMalaysiakiniSaari berkata, mereka mengadakan berbincang panjang berkaitan pembebasan Anwar dan hak perubatan bekas ketua pembangkang di parlimen itu.
Saari juga menghargai pendirian AS yang tidak mencampuradukkan isu politik dengan hak kemanusiaan.
“Kami berterima kasih kepada AS kerana menerima memorandum dengan baik dan bersetuju mengenai hak Anwar mendapatkan rawatan.
“Pihak kedutaan langsung tidak menyentuh mengenai isu politik sebaliknya hal-hal yang melibatkan kesihatan Anwar,” katanya.
Mengulas lanjut, Saari berkata, walapun Kedutaan AS menyokong Malaysia namun mereka tetap sependapat bahawa Anwar patut dibebaskan dari segi hak kemanusiaan.
Jelasnya selepas ini, gabungan NGO dan parti pembangkang itu akan berkunjung ke lima kedutaan lain iaitu Perancis, China, Rusia dan Britain bagi tujuan yang sama.
Antara anggota yang menyertai gabungan NGO menyerahkan memorandum itu ialah PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan kumpulan Otai Reformasi.
Turut hadir salah seorang anak Anwar, Nurul Nuha.

No comments:

Post a Comment