KLANG: Seorang tahanan dalam rumah, yang memakai Peranti Pengawasan Elektronik (PPE) menjadi individu pertama di negara ini didakwa di mahkamah atas kesalahan gagal mematuhi terma dan syarat pemakaian peralatan pada Selasa lepas.
S. Satheesh, 21, yang hadir ke mahkamah dengan peranti berkenaan dipasang di kaki kirinya, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad.
Tertuduh didakwa gagal mematuhi terma dan syarat yang dia persetujui serta tandatangani dengan cara menutup "beacon" dan tidak mengecaj "on body charger" sebelum dia menggunakan peralatan itu supaya kedudukannya tidak dapat dikesan oleh pihak polis.
Satheesh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No: 4, Jalan Hamzah Alang 29, Taman Intan, Kapar di sini, kira-kira pukul 7.30 malam pada 20 Oktober lepas.
Dia didakwa di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang ikat jamin berikutan tertuduh masih berada di bawah pengawasan langkah-langkah pencegahan khas selama dua tahun sejak 14 April lepas.
"Tertuduh berada dalam perintah tahanan rumah dan dipasang peranti pengawasan elektronik kerana kes gangsterisme. Memandangkan ia kes serius pihak pendakwaan membantah sebarang ikat jamin diberikan kepada tertuduh," katanya.
Peguam Gabriel Susayan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh mematuhi syarat-syarat pengawasan dan kesalahannya hanya tidak mengecaj peralatan itu.
Peguam itu turut mengemukakan bantahan awal dengan mendakwa pertuduhan ke atas anak guamnya tidak berasas.
Majistret Nor Asma mencelah dengan berkata kuasa mendakwa terletak di tangan Timbalan Pendakwa Raya dan beliau meminta peguam itu mengemukakan bantahan awal secara bertulis.
"Pada peringkat ini ia masih pramatang untuk tentukan sama ada pertuduhan ini defective (lemah). Saya nak kamu kemuka permohonan (bantahan awal) secara bertulis dan kedua-dua pihak akan diberi peluang untuk berhujah (submit)," katanya.
Nor Asma kemudian membenarkan Satheesh dibebaskan dengan jaminan RM12,000 serta dua penjamin keluarga terdekat dan menetapkan 30 Nov depan untuk sebutan semula kes.
Beliau turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan memerintahkan lelaki itu melapor diri di balai polis terdekat pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sehingga kes selesai.-- Bernama
No comments:
Post a Comment