Friday, 28 August 2015

Di balik tirai besi, Anwar seru sokong BERSIH

Meskipun terpenjara di sebalik tirai besi, bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menyeru rakyat bangkit menyelamatkan Malaysia dengan menyokong himpunan BERSIH 4.
Dalam kenyataannya melalui Ibu Pejabat PKR, ketua umum PKR itu berkata adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia turun menyertai BERSIH 4 ketika negara dilanda beberapa krisis.
"Gegaran Merdeka menandakan berakhirnya pemerintahan penjajahan curang kerana penindasan dan kezaliman.
"Merdeka juga mengusung gagasan besar dan keyakinan baru; menegak keadilan dan negara hukum serta memacu pertumbuhan dengan jaminan pengagihan saksama.
"Terdapat ketimpangan luar biasa diantara cita-cita luhur kemerdekaan dan sekatan ke atas kebebasan rakyat. Institusi hukum tercemar dan kesenjangan pendapatan terus melebar.
"Kita harus bertindak dan selamatkan Malaysia tercinta!" katanya.
Negara bakal menyambut hari Kemerdekaan yang ke 58 tahun ini dengan membawa tema ‘Sehati Sejiwa’.
Menjelang sambutan kemerdekaan, BERSIH 4 akan meganjurkan perhimpunan selama 34 jam bermula Sabtu ini di tiga kota besar, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.
Ia berlangsung ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berdepan isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya, kontroversi 1MDB serta kejatuhan teruk nilai ringgit.


11.8K421
 27 Aug 2015, 6:33 pm      27 Aug 2015, 7:01 pm


No comments:

Post a Comment