Tuesday, 9 June 2015

Berbaik dengan DAP lepas dapat laba- Malaysiakini



Setiap orang atau kumpulan yang ingin mempertahankan jawatan dalam PAS sama ada di Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat termasuk AJK Pusat berhak menonjolkan kerja dan prestasi mereka.

Mereka yang mempertahankan jawatan atau kedudukan cuba menonjolkan prestasi mereka sepanjang mereka memegang jawatan.

Mereka yang ingin mengambil alih atau menawarkan diri untuk berkhidmat dengan memegang jawatan akan menonjolkan idea baru dan mendedahkan kelemahan dan prestasi mereka yang sedang memegang jawatan.

Semua kerja-kerja itu adalah perkara atau perbuatan biasa dalam sesuatu organisasi atau parti.

Sekelompok pemimpin dan ahli PAS cuba mempertikaikan timbalan presiden PAS dan beberapa orang, antara mereka Salehuddin Ayob, Husam Musa, Mahfoz Omar, Dr Hatta Ramli, Suhaizan Kayat, Dr Mariah Mahmud, Hanifa Maidin, Khalid Samad dan beberapa orang lagi tidak menjunjung dan mempertahan kepimpinan ulama.

Bagi saya tuduhan itu adalah perkara biasa dan pihak yang kena tuduh cuba menjawab dengan berbagai cara.

Kemudian mereka di kumpul dalam kumpulan ('Jebon') dan antiulama.

Lebih jauh mereka juga dituduh lebih walak dan taat pemimpin-pemimpin dari parti lain sama ada PKR atau DAP.

Tuduhan mencurah-curah

Tuduhan-tuduhan itu dicurahkan melalui Majlis Multaqa, Nekad dan tuduhan tidak membela presiden ketika beliau diserang oleh DAP.

Saya menjadi sasaran utama kerana dituduh tidak membela presiden dalam krisis menteri besar Selangor dan hadapi DAP.

Kecam mengecam antara pimpinan PAS dan DAP hampir sudah tidak terkawal lagi. Tulisan dan pandangan pemimpin  supaya PAS putus hubungan dengan DAP dan bersedia untuk 'bersendirian'.

Kemuncaknya, bila mursyidul am dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama pada 3 Jun 2015 lalu menegaskan bahawa syarat tahalluf (kerjasama) dengan DAP telah rosak dan tamat.

Usul Muktamar Dewan Ulamak diluluskan pada hari yang sama telah mendapat sokongan 100 peratus dari perwakilan supaya PAS putuskan hubungan dengan DAP.

Lebih kurang 10.30 malam pada 4 Jun 2015 keputusan pemilihan muktamar di ketahui di mana Mohd Sabu, Salehuddin Ayub, Mahfuz Omar, Husam Musa, Hanifa Maidin, Dr Hatta, Dr Mariah dan lain-lain semuanya tewas.

Seminggu sebelum itu presiden telah memberi pandangan bahawa ahli PAS boleh pilih sama ada memilih mereka yang dilihat mewakili DAP atau yang pertahan dasar.

Mereka yang dilabelkan tunduk kepada DAP dan "Anwarinas" semua tewas belaka.

Pembina telah dinyahkan

Dalam muktamar pada 6 Jun 2015, usul untuk putus hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas. Usul itu daripada kawasan Tumpat dan Dewan Ulama.

Bila usul itu diluluskan, ia menjadi gempar. Bagaimana kedudukan penjawat jawatan di Pulau Pinang yang paling terkesan?

Dan bagaimana pula kedudukan PAS dan anggotanya di Selangor-kerajaan negeri, exco, jawatan-jawatan berkaitan yang dianggarkan lebih dari 5,000 yang terlibat.

Dalam ucapan penggulungan pada 6 Jun 2015, saya mengambil keputusan meletak semua jawatan yang bersangkutan dengan kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP.

Sekarang saya dapat melihat – menggunakan, melabel, menuduh orang itu alat itu, suruhan itu ini, Anwarinas, agen DAP hanyalah alat untuk mencapai kedudukan.

Dah dapat kedudukan, cuba cari jalan untuk berbaik semula dengan DAP. Orang yang bersama membina Pakatan Rakyat dari awal telah dinyahkan.

Kedudukan jawatan paling kejar? Moga Allah SWT memberi petunjuk kepada kita semua.


MOHAMAD SABU bekas timbalan presiden PAS.
 

No comments:

Post a Comment