Wednesday, 20 May 2015

PKR nafi Anwar setuju idea k'jaan perpaduan



PKR hari ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana pimpinan parti itu telah atau pernah bersetuju dengan idea bergabung dengan Umno di dalam sebuah kerajaan perpaduan seperti yang dirujuk oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, semalam.

Naib Presiden yang juga setiausaha agung PKR, Rafizi Ramli berkata beliau diberi mandat oleh biro politik PKR untuk menafikan perkara itu.

"PKR berharap kami tidak diheret di dalam persoalan dalaman PAS," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, fokus PKR adalah untuk membela rakyat dan memperbaiki institusi kerajaan yang didakwanya rosak di bawah BN.

"Apatah lagi di saat-saat rakyat tertekan dengan GST, skandal 1MDB, penggunaan dana rakyat dalam Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain," tambahnya.

PKR, katanya, percaya Umno berada pada keadaan yang paling lemah.

Menurut Rafizi lagi, ini adalah masa terbaik untuk memberi peluang perubahan kepada rakyat Malaysia.

Bercakap dalam program 'Bicara Harakah' semalam, Hadi berkata idea kerajaan perpaduan itu ketengahkan selepas krisis di Perak. 
 
Presiden PAS itu berkata: "Pada masa itu, BN cuba nak pancing kita. Kita tidak mengulangi untuk menyertai BN. 
 
"Biasanya sejarah dahulu tidak berulang benda yang sama. Jadi kita kemukakan idea kerajaan perpaduan. Ini dipersetujui bersama pertemuan antara saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul am (Datuk Nik Aziz Nik Mat). Dan kita bersetuju ketengahkan perkara ini.
 
"DAP pun bersetuju. Tapi malangnya perkara itu terbantut kerana BN tidak dapat menerimanya. Itu ceritanya. Benda tu dah hilang. Dah luput daripada sejarahnya."

No comments:

Post a Comment