Wednesday 29 April 2015

Najib: Saya takkan menyerah kalah



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak akan berganjak atau menyerah kalah walaupun diasak dan dikritik.

Katanya beliau akan tetap istiqamah berjuang demi rakyat sebagai sebuah kerajaan yang telus bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, jemaah menteri dan anggota pentadbiran.

Memetik seruan hikmat Bugis, beliau berkata apabila perahu dikayuh ke tengah, ia tidak boleh “bersurut pulang”.

“...meskipun bagaimana besar gelombang yang melanda, biarpun kemudi patah, biarpun layar robek, biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, ia lebih mulia bagi kita tegap teguh berjuang daripada membalik haluan pulang,” katanya.

Beliau menyampaikan ucapan sempena pelancaran Laporan Tahunan 2014 untuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kata-katanya itu secara tidak langsung menjawab kritikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menuntut agar beliau meletak jawatan.

Mahathir sebelum ini antara lainnya membangkitkan mengenai motif kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pentadbiran dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Turut dibangkitkan Mahathir ialah langkah pembayaran wang tunai kepada golongan kurang berkemampuan melalui skim Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Menurut Mahathir, walau dengan bayaran tersebut, Najib tetap mencatatkan prestasi buruk semasa pilihan raya umum 2013.

No comments:

Post a Comment