GEORGE TOWN: Gara-gara meludah dan menampar seorang anggota polis Rabu lalu, dua beranak pada Jumaat didakwa di Mahkamah Majistret di sini.
Shaikh Abdul Shukor Shaikh Abdul Wahab, 31, seorang peniaga, dan bapanya Shaikh Abdul Wahab Shaikh Ibrahim, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret L. Umma Devi.
Mengikut pertuduhan, Shaikh Abdul Shukor dan bapanya didakwa bersama-sama melakukan kekerasan jenayah terhadap Koperal Mohamed Shahrul Nizam Mohamed Salleh dengan menampar dan meludah anggota polis itu ketika mangsa sedang menjalankan kewajipannya.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Patani di sini pada jam 9.50 malam, 15 April lalu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh bagaimanapun peguam Muhammad Asri Abdul Hamid yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya.
"Anak guam saya Shaikh Abdul Shukor menghidap bengkak hati dan perlu menyara isteri dan seorang anak manakala tertuduh kedua (Shaikh Abdul Wahab) menghidap sakit jantung dan mempunyai isteri yang uzur," katanya.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 19 Mei depan untuk sebutan bagi serahan dokumen.
No comments:
Post a Comment