Thursday, 12 March 2015

'IGP terburu-buru arah siasat tweet saya'



Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar didakwa terburu-buru apabila mengarahkan polis Pulau Pinang bertindak terhadap tweet yang dikaitkan dengan Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy, yang mengatakan dia tidak pernah gentar berdepan dengan orang Melayu.

Ramasamy (kiri) berkata ia merupakan satu pembohongan yang berniat jahat untuk memfitnahnya.

Malah, katanya, mereka yang membuat kerja itu pun telah tersalah mengeja namanya.

"Tidakkah IGP perasaan perkara itu? Ini adalah kerja-kerja cybertrooper BN," katanya kepada Malaysiakini.

IGP, katanya, perlu menyiasat perkara itu terlebih dahulu, untuk menentukan sama ada tweet itu benar-benar datang darinya, sebelum mengarahkan Ketua Polis Pulau Pinang (Datuk Abdul Rahim Hanafi) untuk mencarinya.

Hari ini, IGP menyiarkan gambar tweet yang didakwa itu, yang berbunyi:  "Saya tidak pernah gentar berdepan dengan orang Melayu. Sekiranya peristiwa berdarah itu berulang kembali pada hari ini. Kerana saya sudah lama bersedia. MIC, Gerakan dan MCA mungkin takut. Jika anda mahukan 13 Mei, anda bawa la sekarang -  R Ramasamy Timbalan KM Pulau Pinang 11....".

Pada kira-kira jam 9 pagi ini, Khalid telah menulis tweet "Kerap kali @PDRMsia ingatkan supaya hati2 keluarkan statement, masih Ada yg degil. KP Pg sila jlnkan tugas ..." [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan melalui akaun Twitternya bukan bertujuan menakutkan pihak tertentu atau bermotifkan politik.
  
Sebaliknya, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap profesional, tidak memihak dan sentiasa mengekalkan undang-undang serta ketenteraman awam, mencegah dan mengesan penjenayah dengan pendekatan tanpa gentar atau pilih kasih.
  
"Sehubungan itu PDRM memaklumkan kepada orang ramai mengenai tindakan yang diambil melalui Twitter dengan mengambil kira perkara-perkara yang boleh menimbulkan kebimbangan orang awam dan kejayaan dicapai oleh PDRM," katanya.
  
Ahmad Zahid berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) mengenai kesesuaian tindakan Ketua Polis Negara menggunakan Twitter untuk mengeluarkan arahan bagi mengambil tindakan menahan individu.
  
Ahmad Zahid berkata hebahan sebegitu tidak menyalahi sebarang undang-undang serta peraturan yang sedia ada dan mudah serta cepat disebarkan kepada masyarakat umum.
  
Beliau berkata PDRM memandang serius kerana terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan telah menggunakan media sosial untuk mempengaruhi atau menghasut pihak ketiga sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara.
  
"Justeru itu, semua pihak perlu menitikberatkan langkah pengawalan dan waspada bagi mengelak tercetusnya sentimen perkauman dan keagamaan," katanya.

No comments:

Post a Comment