Friday, 27 February 2015

Majlis Peguam tolak tawaran debat Shafee



Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menolak tawaran untuk berdebat dengan ketua pendakwa dalam kes Liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Katanya, seorang pendakwa raya tidak sepatutnya tampil untuk berdebat seperti itu kerana ia satu tindakan yang melanggar etika.

Leong berkata demikian bagi mengulas tawaran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek untuk menganjurkan debat di antara beliau dan Shafee.

Katanya, seorang pendakwa raya mewakili kerajaan dan rakyat, maka setiap penjelasan mengenai berkenaan perlu dibuat secara “tanpa emosi, berhati-hati dan tenang”.

“Tentu sekali tidak bertempat kalau diadakan jelajah atau debat,” katanya.

Katanya, program seperti itu mungkin akan “memalukan atau menjejaskan keyakinan umum” ke atas institusi badan pendakwaan.

“Adakah sesuatu perintah kepada seseorang pendakwa untuk menjalankan pendakwaan memberi lesen untuk menjalankan kecaman secara umum ke atas seorang individu yang disabit kesalahan dan dipenjara?

“Adakah pendakwa yang diberi perintah ini turut diberi kuasa untuk menjalankan aktiviti sebegini?,” soalnya.

Katanya garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Pendakwa Antarabangsa antara lainnya menetapkan bahawa pendakwa mesti mengekalkan maruah, tidak memihak dan “tidak dipengaruhi oleh kepentingan setempat umum atau tekanan media”.

Katanya garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga menggariskan bahawa pendakwa mesti “mengelakkan sebarang bentuk diskriminasi politik, sosial, keagamaan, perkauman, kebudayaan dan seksual”.

Katanya, pendakwa di Malaysia ditadbir oleh  peraturan Profesion Undang-undang (Amalan dan kesopanan) 1978.

Oleh itu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mesti menjelaskan sekiranya perkara yang sama terpakai ke atas pendakwa yang mendapat perintah seperti Shafee.

"Majlis Peguam membangkitkan isu ini dan melontarkan soalan kerana badan ini menyokong kedaulatan undang-undang dan keadilan.

“Majlis Peguam tidak propembangkang dan tidak juga prokerajaan,” kenyataannya dipetik.

Shafee pada minggu lalu berucap mengenai kes Liwat II dalam dua acara dan mendedahkan butiran yang sebelum ini hanya dinyatakan secara in camera dalam perbicaraan tersebut.

No comments:

Post a Comment