Saturday, 19 December 2015

'Hakim tak boleh takut'




 Geraldine Tong      Hari ini, 8:00 malam      Hari ini, 8:12 malam
Hakim tidak boleh takut menerapkan kebebasan supaya dihormati walaupun berdepan dengan eksekutif "berkuasa" kata Tan Sri Mohd Hishamudin Mohd Yunus.
Menurut bekas hakim mahkamah rayuan itu seseorang hakim mesti cukup berani dan benar-benar besar bertindak dalam membuat keputusan.
"Apakah yang dimahukan seseorang hakim? Adakah mereka mahu dihormati atau mereka mahu dipandang rendah oleh rakyat?
"Memanglah ada eksekutif berkuasa perlu dihadapi yang berkuasa membuat lantikan, menaikkan pangkat, malah memecat hakim seperti dalam kes Tun Salleh Abbas, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah," katanya di satu forum anjuran Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan dibuat Mohd Hishamudin itu merujuk kepada krisis perlembagaan negara pada 1988 ketika Malaysia di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, kata Mohd Hishamudin, kewujudan eksekutif berkuasa bukan alasan untuk seseorang hakim tidak melaksanakan keadilan secara bebas.
"Seorang pak turut tak boleh menerima pelantikan sebagai hakim," katanya.

Wednesday, 2 December 2015

Sijil, Transkrip UTM Palsu, Ketua Jabatan Fasiliti KLIA Didakwa


Diterbitkan: Jumaat, 27 November 2015 4:09 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang ketua jabatan fasiliti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan menipu Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) berhubung salinan sijil dan transkrip palsu, tahun lepas.

Faizal Noh, 40, didakwa menipu pihak LJM dengan mengemukakan salinan Sijil Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dan transkrip keputusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor yang mana tertuduh tahu bahawa salinan sijil dan transkrip tersebut adalah palsu.

Bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 17, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Sultan Salahuddin di sini, pada 3 April 2014 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff menawarkan Faizal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin namun, peguam A. Krishnaveni yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh menanggung isteri dan anak-anaknya.


Majistret Saifulakmal Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Hukuman Lebih Berat Terhadap Ibu Bapa, Penjaga Kanak-Kanak Yang Cuai - Rohani


Diterbitkan: Rabu, 2 Disember 2015 5:51 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 yang dibentangkan di Dewan Rakyat akan memberi hukuman yang lebih berat kepada ibu bapa dan penjaga yang cuai dalam penjagaan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kementerian memandang serius kes-kes kecuaian melibatkan penjagaan kanak-kanak dan kerana itu hukuman itu perlu dikuatkuasakan kelak untuk memberi pengajaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Ini satu pencegahan supaya tidak berlaku lagi pengabaian dan penganiayaan kepada kanak-kanak," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Rabu.
Menurutnya, jika rang pindaan itu diluluskan, hukuman denda pemenjaraan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 itu akan dinaikkan dari denda RM20,000 kepada RM50,000 dan penjara dari 10 tahun kepada 20 tahun.
Rohani berkata selain perkara tersebut, pindaan itu juga akan memansuhkan hukuman sebatan kepada kanak-kanak yang melakukan kesalahan jenayah yang sebelum ini diputuskan mahkamah.
Beliau berkata, Perintah Khidmat Masyarakat turut diperkenalkan di dalam rang itu untuk dilaksanakan ke atas kanak-kanak yang melakukan jenayah, pesalah dewasa yang mendera atau mengabai kanak-kanak.

Monday, 23 November 2015

Tuduhan menghasut, Arutchelvan mohon bicara- MALAYSIAKINI



 Hari ini, 1:39 petang      Hari ini, 3:03 petang

Bekas Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan memohon dibicarkan berhubung tuduhan menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial Facebook berhubung penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Februari lalu.
Beliau juga mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Amernudin Ahmad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumppur hari ini.
Arutchelvan didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Perundangan D5, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 12 tengah hari, 12 Februari lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman sama jika sabit kesalahan.
Hakim Amernudin Ahmad kemudiannya menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes

TPM Minta Tian Chua Jawab Di Mahkamah


Diterbitkan: Isnin, 23 November 2015 5:45 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua supaya membuat keterangan penafian di mahkamah berhubung penglibatannya sebagai dalang pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram.
Timbalan perdana menteri berkata, tidak berhasrat untuk menarik balik kenyataan beliau berhubung dakwaan berkenaan yang dibuat pada pagi Isnin.
"Beliau tidak perlu membuat penafian di media. Polis akan mengambil kenyataan beliau dan sila beri keterangan dan penafian di mahkamah.
"Saya tidak berhasrat untuk menarik balik sebarang kenyataan saya pagi tadi.
"Beliau jawablah kerana hanya beliau sahaja yang tahu penglibatan dalam pertemuan Ahli Parlimen Lembah Pantai (Nurul Izzah) atas anjuran beliau," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.
Terdahulu, Tian Chua menggesa Ahmad Zahid menarik balik kenyataan yang mendakwa beliau sebagai dalang pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III iaitu Jacel H Kiram.
Ahli Parlimen Batu itu menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Zahid sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
Chua sekali lagi mengulangi penjelasan Nurul Izzah mengenai kehadiran mereka di Filipina di atas undangan pihak pelbagai parti politik di negara itu.
"Tujuan kita berada di sana untuk membawa isu yang membawa kesedaran kepada rakyat Filipina dan kalangan ahli-ahli politik mengenai hak asasi manusia dan isu kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Chua.

Saturday, 24 October 2015

Individu Pertama Didakwa Langgar Syarat Pakai Peranti Pengawasan Elektronik


Diterbitkan: Jumaat, 23 Oktober 2015 6:01 PM
Gambar Hiasan
  (Ubah saiz teks)
KLANG: Seorang tahanan dalam rumah, yang memakai Peranti Pengawasan Elektronik (PPE) menjadi individu pertama di negara ini didakwa di mahkamah atas kesalahan gagal mematuhi terma dan syarat pemakaian peralatan pada Selasa lepas.
S. Satheesh, 21, yang hadir ke mahkamah dengan peranti berkenaan dipasang di kaki kirinya, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad.
Tertuduh didakwa gagal mematuhi terma dan syarat yang dia persetujui serta tandatangani dengan cara menutup "beacon" dan tidak mengecaj "on body charger" sebelum dia menggunakan peralatan itu supaya kedudukannya tidak dapat dikesan oleh pihak polis.
Satheesh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No: 4, Jalan Hamzah Alang 29, Taman Intan, Kapar di sini, kira-kira pukul 7.30 malam pada 20 Oktober lepas.
Dia didakwa di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin yang mengendalikan pendakwaan tidak  mencadangkan sebarang ikat jamin berikutan tertuduh masih berada di bawah pengawasan langkah-langkah pencegahan khas selama dua tahun sejak 14 April lepas.
"Tertuduh berada dalam perintah tahanan rumah dan dipasang peranti  pengawasan elektronik kerana kes gangsterisme. Memandangkan ia kes serius pihak pendakwaan membantah sebarang ikat jamin diberikan kepada tertuduh," katanya.
Peguam Gabriel Susayan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh mematuhi syarat-syarat pengawasan dan kesalahannya hanya tidak mengecaj peralatan itu.
Peguam itu turut mengemukakan bantahan awal dengan mendakwa pertuduhan ke atas anak guamnya tidak berasas.
Majistret Nor Asma mencelah dengan berkata kuasa mendakwa terletak di tangan Timbalan Pendakwa Raya dan beliau meminta peguam itu mengemukakan bantahan awal secara bertulis.
"Pada peringkat ini ia masih pramatang untuk tentukan sama ada pertuduhan ini defective (lemah). Saya nak kamu kemuka permohonan (bantahan awal) secara bertulis dan kedua-dua pihak akan diberi peluang untuk berhujah (submit)," katanya.
Nor Asma kemudian membenarkan Satheesh dibebaskan dengan jaminan RM12,000 serta dua penjamin keluarga terdekat dan menetapkan 30 Nov depan untuk sebutan semula kes.
Beliau turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan memerintahkan lelaki itu melapor diri di balai polis terdekat pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sehingga kes selesai.-- Bernama

Thursday, 1 October 2015

Khoo: Istilah ‘pendatang’ bukan untuk warganegara



2.5K115
 Anne Muhammad      Hari ini, 7:24 am      Hari ini, 11:20 am
Pakar sejarah profesor emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata istilah ‘pendatang’ hanya dapat diberikan kepada mereka yang tidak mendapat kewarganegaraan.
“Pendatang hanya untuk yang bukan warganegara. Kalau sudah dapat kewarganegaraan dia bukan lagi pendatang,” katanya dalam forum Mempertahankan Maruah Melayu malam tadi di Dewan Cina Kuala Lumpur malam tadi.
Khoo, yang merupakan pakar sejarah Malaysia, berkata seharusnya dalam kad pengenalan Malaysia ditulis ‘warganegara Malaysia’ dan bukannya bangsa seseorang itu.

“Bangsa menunjukkan nationaliti kita sepatutnya Malaysia, kalau (dalam kad pengenalan) tulis bangsa Cina, maknanya warganegara Cina lah.
“Itu istilah bukan makna. istilah hanya bawa satu makna,” katanya yang turut menyifatkan pemerintah melakukan kesilapan dengan meletakkan bangsa di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia.
Beliau berkata semasa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), badan itu tidak digelar sebagai United Race termasuk juga 1Malaysia pula bermakna satu bangsa iaitu Malaysia.
“1Malaysia maksudnya satu bangsa dan ini difahami oleh orang-orang lama,” katanya.
Menurut Khoo lagi, dengan menghayati nilai sejarah lampau, ia boleh menjadikan negara ini hebat seperti dahulu.
“Kita kena kenal kekuatan kita. Dulu pertanian kita nombor satu di dunia tapi sekarang sudah hilang, saya tidak tahu golongan muda nak ke mana sekarang?
“Zaman saya digalakkan bersaing dengan yang terbaik. Yang sedihnya mereka (generasi sekarang) tidak tahu mengapa mereka kalah (dalam apa-apa bidang) sekarang.
“(Sebab) bagi mereka sejarah tidak penting. kalau kaji masyarakat Melayu, pada masa keadaan mula berubah, banyak boleh kita belajar tapi sekarang pemerintah kata sejarah tidak penting,” katanya.

Friday, 25 September 2015

Dr M: Singkir Najib selamatkan Malaysia


4.1K1
 Hari ini, 5:56 pm      Hari ini, 6:26 pm
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kegawatan ekonomi dan penyusutan nilai ringgit hanya akan dapat dipulihkan jika Datuk Seri Najib Razak disingkirkan.
Dalam entri terbaru beliau petang ini, Dr Mahathir berkata, disebabkan itu rakyat Malaysia mesti menuntut supaya Najib diketepikan daripada jawatannya dan langkah itu "demokratik sepenuhnya".
"Tindakannya menahan orang ramai kerana berhimpun untuk menuntut peletakan jawatan adalah tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang negara," katanya.
Dr Mahathir menjadi antara pengkritik tegar terhadap Najib dan berkali-kali mendesak supaya anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu meletak jawatan.
Ketika media arus perdana kebanyakannya menyekat kenyataan dibuat Dr Mahathir, beliau yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun menggunakan saluran media sosial seperti blog untuk menyatakan pandangannya dari semasa ke semasa.

Beliau juga hadir sebanyak dua kali ketika BERSIH 4 berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Menurut Dr Mahathir, beliau juga menggesa rakyat negara ini menuntut Najib membenarkan dirinya disiasat oleh badan bebas.
"Najib mesti membenarkan proses perundangan diteruskan. Jika didapati dia melakukan perkara haram, dia mesti meletak jawatan," katanya.
Berusaha keras untuk Najib
Dalam entri terbarunya bertajuk Najib itu, Dr Mahathir juga mendakwa perdana menteri mengupah orang ramai untuk menunjuk perasaan di jalanan sebagai tanda menyokong pentadbirannya.
"Dia bagaimanapun mengharamkan orang ramai menunjuk perasaan menuntut dia meletak jawatan," katanya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan pertubuhan bukan kerajaan pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu.
Dianggarkan seramai 45,000 orang hadir di program turut dikenali sebagai himpunan baju merah itu.
Perhimpunan itu diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur.
Dalam entri hari ini, Dr Mahathir menyingkap semula pelantikan Najib sebagai perdana menteri dan pelbagai "kesalahan" dilakukannya.
"Saya bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia. Tetapi kini saya mahu dia disingkirkan, berundur daripada menjadi perdana menteri. Ia bukan sebab peribadi, tetapi sebaliknya kerana dia gagal teruk sebagai perdana menteri.
"Saya sedar awal kesalahan-kesalahan yang dilakukannya," kata Dr Mahathir.
Beliau mengakhiri entri kali ini dengan penegasan bahawa hanya pengunduran Najib dapat menyelamatkan negara ini.
"Hanya melalui penamatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia keadaan ekonomi akan pulih, nilai ringgit kembali naik dan kos sara hidup turun.
"Hanya selepas penyingkirannya Malaysia kembali gah," katanya.

Thursday, 10 September 2015

Mahathir: RM2.6 bilion wang haram

 Hari ini, 7:34 pm      Hari ini, 7:49 pm
Tun Mahathir Mohamad mendakwa tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya didapati secara haram.
“Tindakan Najib menghalang siasatan ke atas wang 2.6 bilion ringgit yang ada dalam akaun peribadinya, membuktikan wang ini didapati secara haram.
“Jika didapati secara halal, Najib tidak perlu takut siasatan diteruskan,” kata Mahathir.
Menulis dalam blognya hari ini, Mahathir membangkitkan isu pembubaran pasukan petugas khas yang menyiasat isu berkaitan perkara itu.
“Sekarang wang ini telah dipindah entah ke mana. Apabila siasatan dibuat oleh badan kerajaan yang bertanggungjawab Najib bubar badan-badan ini,” katanya.
Pasukan itu meliputi empat badan penting, iaitu Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jabatan Peguam Negara.
Mahathir berkata majoriti rakyat kini “benci” dan menolak Najib sebagai perdana menteri kerana tidak dapat menerima penjelasan bahawa dana yang dimasukkan ke akaunnya itu derma orang Arab.

Thursday, 3 September 2015

BERSIH 4: Guan Eng putus untuk saman Utusan



3.9K178
 Susan Loone      2 Sep 2015, 5:00 pm      2 Sep 2015, 5:21 pm
Akhbar harian milik Umno Utusan Malaysia sekali lagi mengundang masalah dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Lim memutuskan untuk mengambl tindakan undang-undang kepada akhbar itu kerana mengaitkan beliau dengan penganjuran perhimpunan selama 34 jam di Kuala Lumpur hujung minggu oleh Gabungan NGO yang menuntut reformasi sistem pilihan raya BERSIH.
Ratusan ribu rakyat memakai baju T kuning turun ke jalan raya bagi menyokong tuntutan BERSIH antaranya menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan ekoran dakwaan skandal 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadinya.
Lim turur hadir ke perhimpunan itu dan menyampaikan ucapan bersama dengan pemimpin pembangkang yang lain.
Beliau memakai baju T kuning tanpa cetakan tema BERSIH yang dilarang oleh menteri dalam negeri sehari sebelum berlangsungnya himpuan itu.
"Laporan muka depan Utusan hari ini memburukkan nama saya," kata dalam sidang medianya di Komtar hari ini.
"Akhbar itu mahu mencari masalah dengan saya lagi. Kali ini dah keterlaluan kerana saya bukan penganjur himpunan,"katanya yang juga setiausaha agung DAP.
Lim melihat laporan serangan Utusan pada muka depan hari ini, yang menyiarkan gambar beliau dan bapanya Lim Kit Siang, dan pemimpin-pemimpin BERSIH yang lain, termasuk pengerusinya Maria Chin Abdullah, bekas pengerusi bersama Datuk S Ambiga dan Ketua Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu.
Tajuk utama 'Malulah Kamu!', akhbar itu menuduh perhimpunan itu sebagai satu gerakan untuk menggalakkan nilai-nilai anti-nasional.

Di P'jaya, ketua NGO antirasuah dunia tuntut jawapan PM



13.5K5534
 Alyaa Azhar      2 Sep 2015, 5:30 pm      2 Sep 2015, 5:34 pm
Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugaz menuntut jawapan terhadap dakwaan skandal melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam ucapan pembukaan dalam Persidangan Antirasuah Antarabangsa ke-16 (IACC) di Putrajaya hari ini, Ugaz berkata kerajaan mengambil banyak inisiatif untuk menangani masalah rasuah.
“Kita mahu lihat lebih banyak kemajuan tetapi perkara itu tidak dapat berlaku selagi terdapat soalan tidak berjawab berhubung AS$700 juta yang masuk ke akaun peribadi perdana menteri,” katanya disambut tepukan.
Ugaz membangkitkan perkembangan minggu-minggu terakhir ini yang menyaksikan peguam negara diganti, pasukan petugas khas dimansuhkan dan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan polis atau dipindah keluar dari suruhanjaya itu.
Begitu juga dengan penggantungan akhbar, kata Ugaz.
“Ini bukan tindakannya untuk sebuah kerajaan yang melawan rasuah,” katanya, sekali lagi disambut tepukan hadirin.
“Terdapat dua persoalan yang perlu dijawab: siapa bayar wang itu dan kenapa, dan ke mana ia pergi?
“Seorang lelaki boleh jawab soalan-soalan ini,” katanya.

Wednesday, 2 September 2015

Maria: Tak perlu siasat Mahathir



703
 Shakira Buang      Hari ini, 2:25 pm      Hari ini, 2:27 pm
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata tiada keperluan untuk polis menyiasat bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana hadiri ke himpunan Sabtu dan Ahad lepas.
Katanya, Mahathir cuma hadir atas kapasiti sebagai peserta semata-mata, sama seperti pihak lain.
"Tidak ada keperluan untuk memanggil beliau (Mahathir) atau mana-mana peserta yang hadir dalam perhimpunan BERSIH 4.0" kata Maria.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya semalam memaklumkan Mahathir akan disiasat atas pembabitannya dalam himpunan besar itu.
Polis akan memanggil beliau kerana didakwa membuat ucapan dan dakwaan tertentu.

'22 ahli PAS sertai parti baru gugur secara automatik'



1.7K31
 Hari ini, 1:35 am      Hari ini, 1:40 am
Keanggotaan 22 ahli PAS yang mengisytiharkan diri mereka menyertai Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) selepas diambil alih oleh Gerakan Harapan Baru (HB) gugur secara automatik.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata perkara itu jelas dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2011) di bawah Fasal 15(1)(c) berhubung keberhentian ahli.
"Sehubungan itu, PAS tidak perlu mengambil sebarang tindakan disiplin, cuma kita hanya perlu hantar surat kepada mereka untuk urusan pentadbiran.
"Mereka boleh memohon untuk kembali menjadi ahli PAS namun ia bergantung kepada parti untuk menerima atau menolak permohonan mereka," katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di
Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 di Kota Bharu semalam.
Kelmarin, Pengerusi HB Mohamad Sabu mengumumkan gerakan itu telah mengambil alih dan akan menjenamakan semula PPM sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).
Butiran parti itu akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan.
Mohamad turut mengumumkan jawatankuasa Amanah, yang diketuai beliau sebagai pengerusinya, Ahmad Awang penasihat umum, bekas naib presiden PAS Salahudin Ayub timbalan pengerusi, anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa naib pengerusi, anggota Parlimen Kota Raja Dr Mariah Ahmad ketua wanita, dan Mohd Sany Hamzan (ulang: Hamzah) sebagai ketua pemuda.
Mohd Anuar Mohd Tahir setiausaha agung, Asmuwi Ani bendahari agung dan bekas ketua pemuda PAS Suhaizan Kaiat sebagai setiausaha organisasi.
HB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.
Mengulas mengenai bai'ah dan lafaz taklik yang dipersetujui oleh anggota PAS ketika menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, Takiyuddin berkata ia tidak memberi kesan dari segi perundangan.
"Dari segi undang-undang, ia tak ada 'legal effect' (kesan perundangan), tapi ia 'moral obligation'(kewajipan moral)," katanya.
- Bernama