Friday 12 December 2014

Mahkamah Rayuan bebaskan Prof Dr Rustam Abbas


Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membebaskan bekas timbalan naib canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) Prof Dr Rustam Abbas daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk melanjutkan perkhidmatan kontraknya di universiti milik kerajaan Selangor itu pada 2007.
    
Keputusan menolak rayuan pihak pendakwaan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif.
 
Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asnawi Abu Hanipah merayu terhadap keputusan Keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2 Ogos 2011, untuk melepaskan dan membebaskan Dr Rustam tanpa dipanggil membela diri.
    
Pembebasan beliau dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Mei tahun ini.
    
Di Mahkamah Rayuan hari ini, Hakim Md Raus berkata mahkamah melihat tiada sebab untuk mengganggu dapatan fakta yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen.
 
Panel itu turut dianggotai hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Zakaria Sam dan Vernon Ong Lam Kiat.
 
Menurut kertas pertuduhan, Dr Rustam, 56, yang kini bersara, didakwa menyalahi undang-undang dengan menggunakan surat palsu bertarikh 28 Disember 2006 bertajuk "Penyambungan Kontrak Perkhidmatan Sebagai Timbalan Naib Canselor, UNISEL".
 
Dia didakwa menggunakan surat itu sebagai dokumen tulen di Pejabat Sumber Manusia Kampus Bestari Jaya universiti itu di Kuala Selangor, Selangor pada 12 Julai 2007.
 
Asnawi sebelum ini berhujah bahawa Dr Rustam, yang juga pemangku naib canselor universiti itu pada masa itu, harus dipanggil untuk membela diri.
 
Bagaimanapun, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Dr Rustam berhujah bahawa Mahkamah Sesyen menilai bukti dengan penuh berhati-hati dan teliti, dan mendapati kes prima facie tidak dibuktikan terhadap anak guamnya.
 

No comments:

Post a Comment