Semalam genap enam bulan sejak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota polis Unit Tindakan Khas, ketua inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, didengar di Mahkamah Persekutuan dalam kes yang melibatkan kematian Altantuya Shaariibuu.
Bagaimanapun, belum ada keputusan oleh panel lima anggota yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengarnya di mahkamah tertinggi negara itu.
Ini telah disahkan oleh Timbalan Peguamcara 1 Tun Abdul Majid Tun Hamzah, dan peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah dan Hasnal Rezua Merican yang mewakili Sirul.
"Sehingga kini, tiada tarikh ditetapkan," kata Tun Majid kepadaMalaysiakini. Para peguam lain juga bercakap dengan Malaysiakinipada masa yang berlainan minggu ini.
Secara umumnya, hakim diberikan tempoh sehingga tiga bulan untuk menulis penghakiman mereka.
Bagaimanapun, Arifin ketika mengulas kes Liwat II terhadap Datuk
Seri Anwar Ibrahim berkata awal bulan ini bahawa para hakim harus diberi tempoh masa yang munasabah untuk menyelesaikan penghakiman kerana setiap kes berbeza.
Katanya, amalan standard bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ialah untuk melengkapkan penghakiman dalam tempoh tiga bulan selepas kes didengar.
Beliau telah dipetik oleh Bernama sebagai berkata dalam sesetengah kes, mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) akan mengambil masa yang lebih lama, mungkin sehingga enam bulan untuk menyiapkan penghakiman itu - bergantung kepada kerumitan kes.
Selain Arifin, hakim-hakim lain dalam panel lima anggota dalam kes Altantuya itu adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.
Rayuan pihak pendakwaan didengar selama tiga hari pada bulan Jun.
No comments:
Post a Comment