Sunday, 28 September 2014

Peniaga Mengaku Salah Cederakan Pelajar UiTM Alor Gajah


Diterbitkan: Khamis, 25 September 2014 8:04 PM
Anggota Polis membawa Rahim Othman dan Amir Fusyairi Ahmad Anuar, di Mahkamah Sesyen Alor Gajah atas tuduhan mencederakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Lendu pada 10 September lepas.
  (Ubah saiz teks)
ALOR GAJAH: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencederakan pelajar Diploma Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Alor Gajah pada 10 September lepas.

Rahim Othman, 20, dari Taman Mutiara di sini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Siti Irina Ridzwan, 20, semasa merompaknya di C-1-1 Apartment Dimensi, Jalan Dimensi Utama di sini pada pukul 6.15 pagi.

Tertuduh yang berniaga sendiri didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat. 

Hakim Nariman Badruddin kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 27 Oktober depan bagi mendapatkan laporan sosial tertuduh dan menjatuhkan hukuman.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penarik kereta Amir Fusyairi AhmadAnuar, 40, didakwa bersubahat dengan Rahim menyebabkan kecederaan ke atas Siti Irina semasa rompakan itu pada tarikh, tempat dan waktu yang sama mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tertuduh daripada Taman Seri Lekir, Sitiawan, Perak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal MohdRazi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment