Wednesday 20 August 2014

Edar Heroin: Penganggur Dihukum Gantung


Diterbitkan: Selasa, 19 Ogos 2014 5:58 PM
  (Ubah saiz teks)
KOTA BARU: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penganggur yang didapati bersalah terhadap pertuduhan mengedar heroin tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Hasrool Mohamed Najri, 20, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata keterangan pembelaan tertuduh sebelum ini yang mengatakan dia diminta oleh seorang lelaki dipanggil 'Abe Adnan' untuk mengambil bungkusan plastik di bawah bumbung di rumah lelaki itu gagal menunjukkan keraguan.

"Mahkamah setuju bahawa keterangan mengenai Abe Adnan ini telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah kerana tidak diketahui sama ada wujud atau tidak Abe Adnan ini," katanya.

Beliau berkata tindakan tertuduh melarikan diri ketika serbuan dilakukan polis menunjukkan tertuduh sememangnya memiliki dadah berkenaan.

Mohamed Hasrool didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 66.2 gram di sebuah stesen minyak di Mukim Maka, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, Tanah Merah, pada 5.10 petang, 15 Julai 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali dan tertuduh diwakili peguam Ahmad Ridzuan Awang.

No comments:

Post a Comment