Friday, 8 August 2014

Azrinaz Fail Permohonan Halau Penyewa Premis


Diterbitkan: Khamis, 7 Ogos 2014 5:25 PM
Azrinaz Mazhar Hakim
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalau seorang pemilik restoran dan menyerahkan semula premis yang disewa sejak dua tahun lepas kepadanya.

Azrinaz, 35, memfailkan saman pemula terhadap pemilik Restoran RBJ Curry House, Syed Abuthahir Abdul Sithik, 37, menerusi Tetuan Firuz Jaffril, Aidil & Zarina di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 21 Julai lepas.

Media memperoleh salinan dokumen itu hari ini ketika kes disebut dalam kamar di depan Hakim Datuk John Louis O'hara dengan dihadiri peguam, Mohd Firuz Jaffril yang mewakili Azrinaz dan peguam C. Paul Ai Su bagi pihak Syed Abuthahir.


Mohd Firuz memaklumkan pemberita mahkamah menetapkan 2 September ini untuk mendengar permohonan itu.

Azrinaz, pemilik lot kedai yang terletak di No 8, Blok 4, Jalan Jalil Jaya, Jalil Link, Bukit Jalil, memfailkan permohonan itu selepas mendakwa Syed Abuthahir melanggar perjanjian sewa beli yang ditandatangani pada 11 Julai 2012.

Bekas penyampai berita TV3 itu turut memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama-sama saman pemula itu, bapa Azrinaz, Hakim Mazhar Mohd Johar, 66, mendakwa defendan gagal melunaskan sewa sebanyak RM6,500 setiap bulan tepat pada masa seperti yang ditetapkan mengikut perjanjian tersebut.

Hakim Mazhar, yang menguruskan penyewaan premis itu bagi pihak anaknya, turut mendakwa defendan gagal membayar bil elektrik dan air.

Beliau juga mendakwa satu Notis Penamatan Perjanjian telahpun dihantar kepada Syed Abuthahir pada 14 Mac lepas bagi memintanya mengosongkan premis itu, namun sehingga kini defendan tetap enggan keluar dari premis berkenaan.

No comments:

Post a Comment