Wednesday, 23 July 2014

Mahkamah Benarkan 2 Kes Yazid Sufaat Dibicara Bersama


Diterbitkan: Selasa, 22 Julai 2014 4:58 PM
Yazid Sufaat
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan kes bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim berhubung tindakan menyokong dan bersuhabat dalam kegiatan pengganas di Syria serta menjadi anggota kumpulan pengganas, Tanzim al-Qaeda, dibicarakan bersama.


Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar supaya kedua-dua kes itu dibicara bersama di mahkamah sama.

Shukor berkata, ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Julai lalu yang memerintahkan kedua-dua kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 14 Ogos ini untuk mendengar semula kedua-dua pertuduhan.

Sebelum ini, kes Yazid dan Muhammad Hilmi dituduh menyokong dan bersuhabat dalam aktiviti pengganas di Syria didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim manakala bagi pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim al-Qaeda didengar di hadapan Mohd Azman.


Pada 8 Februari 2013, Yazid, 49, Muhammad Hilmi, 33, dan suri rumah Halimah Hussein, 52, mengaku tidak bersalah membabitkan diri dalam aktiviti keganasan di Syria di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, antara 1 Ogos 2012 hingga 7 Februari 2013.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagaimanapun, pada 20 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Kamardin melepas dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh daripada pertuduhan terbabit.

Namun, 27 Mei tahun lalu juga, Yazid dan Hilmi, sekali lagi didakwa dan mengaku tidak bersalah menjadi anggota kumpulan pengganas di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, antara 1 Ogos 2012 hingga 7 Februari 2013.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum seumur hidup dan denda.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arsyad.

No comments:

Post a Comment