Monday, 9 June 2014

Wang Dilarikan Juruteknik Ditemui Di Dalam Semak


Diterbitkan: Ahad, 8 Jun 2014 2:41 PM
Gambar hiasan.
  (Ubah saiz teks)
IPOH: Polis menemui wang tunai sebanyak RM210,000 daripada RM235,280 yang dilarikan oleh seorang juruteknik sebuah syarikat kawalan keselamatan ketika memindahkan wang tersebut dari sebuah bank ke dalam van syarikat terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Superintendan Maszely Minhad berkata, wang tersebut dijumpai di dalam semak di Kampung Bunga Tanjung, Malim Nawar, tempat suspek berusia 23 tahun itu dipercayai tinggal.

Menurutnya, suspek ditugaskan dengan seorang lagi juruteknik dan tiga pengawal keselamatan untuk mengutip duit dari mesin pengeluaran wang (ATM) di beberapa bank sekitar Ipoh pada petang Selasa.

"Syarikat tersebut menyedari bahawa sebuah beg kanvas yang sepatutnya mengandungi sejumlah wang sebanyak RM235, 280 hilang semasa pungutan dan segera melakukan siasatan dalaman.

"Mereka kemudiannya melaporkan mengenai perkara itu kepada polis keesokan harinya," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Mazsely berkata, tiga pengawal keselamatan itu ditahan kira-kira pukul 5.20 petang Khamis lalu.

"Berdasarkan kenyataan mereka, kami mendapati suspek membawa bersama jaket berwarna hitam semasa menjalankan tugas.

"Kami kemudiannya menahan mangsa yang kemudiannya mengaku memasukkan beg kanvas yang mengandungi wang yang hilang itu di dalam jaket tersebut.

"Dia meletakkan beg kanvas lain ke dalam van syarikat terbabit," kata Mazsely.

Polis kemudiannya menjumpai wang tersebut yang berselerakan di dalam semak bersama-sama beg kanvas yang telah terbakar selain beg plastik dengan logo bank terbabit.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Mazsely berkata suspek kini direman selama tiga hari sehingga Isnin manakala yang dilain dibebaskan dengan jaminan polis.

No comments:

Post a Comment