Thursday, 15 May 2014

SPRM Tahan Enam Penguatkuasa Terima Rasuah Lindungi Operasi Haram



Diterbitkan: Rabu, 14 Mei 2014 11:35 PM

Salah seorang anggota penguatkuasa yang ditahan pegawai SPRM, Rabu, kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi operasi penjualan VCD dan DVD haram sekitar Pulau Pinang.
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Enam anggota penguatkuasa termasuk pegawai kanan dan pesara pasukan itu ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi operasi penjualan cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) haram sekitar Pulau Pinang.

Empat lagi yang ditahan membabitkan dua pegawai rendah yang dipercayai menerima suapan dalam bentuk wang tunai, sama ada secara terus atau dimasukkan ke akaun pihak ketiga.

Penahanan yang dilakukan sepasukan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu kurang 24 jam selepas mStar Online mendedahkan kegiatan anggota penguatkuasa menuntut wang perlindungan antara RM50 hingga RM200 sebulan daripada setiap pengusaha premis berkenaan di negeri itu.

Berdasarkan jumlah itu, ada pengusaha perniagaan haram itu yang membayar antara RM1,500 hingga RM6,000 sebulan kepada pihak terbabit.

Malahan, ada pengusaha terbabit yang menanggung rugi sehingga RM12,000 dalam tempoh tiga bulan kerana terpaksa membayar wang perlindungan kepada sekurang-kurangnya 20 orang setiap bulan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua anggota penguatkuasa terbabit.

"Mereka ditahan di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang dalam operasi yang dijalankan hari ini (Rabu)," katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu mStar Online, semua yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak lebih dua tahun lalu.

SPRM menjalankan risikan sejak tiga bulan lalu susulan maklumat orang ramai termasuk pengusaha perniagaan terbabit yang serik apabila terpaksa menanggung kerugian setiap bulan.

"Siasatan awal mendapati ada di antara mereka yang mengenali antara satu sama lain dan mungkin bersubahat dalam kegiatan ini," katanya.

Sumber itu berkata, semua anggota polis terbabit ditahan bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan menerima suapan bagi melindungi kegiatan tidak berlesen.

"Semua individu terbabit yang ditahan dibawa ke pejabat SPRM Pulau Pinang untuk diambil keterangan," katanya.

Sumber itu berkata, pihaknya menjangka lebih ramai akan ditahan kerana aduan yang diterima turut memaklumkan mengenai pembabitan anggota pasukan penguatkuasa lain yang menyamar untuk mendapatkan habuan.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan operasi premis VCD dan DVD haram di sekitar Pulau Pinang terus kebal kerana dilindungi anggota penguatkuasa yang menuntut wang perlindungan kononnya bagi menjamin kelangsungan aktiviti tanpa lesen itu.

Beberapa kawasan yang dikenalpasti menjadi tempat operasi pengusaha premis ini adalah sekitar Air Itam dan Jelutong di bahagian pulau, manakala Prai dan Bagan Ajam di Seberang Prai.

Lebih mengejutkan apabila pemantauan mendapati ada premis yang terletak berdekatan balai polis, tetapi masih beroperasi walaupun pada waktu siang.

No comments:

Post a Comment