Diterbitkan: Isnin, 5 Mei 2014 6:43 PM
(Ubah saiz teks)
Mejar Mohd Nasir Aziz berkata pada 6 Mac tahun lepas, ketika melakukan operasi pembersihan untuk mengeluarkan para penceroboh bersenjata dari Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, beliau ternampak seorang penceroboh bersenjata di anjung sebuah rumah sedang menembak ke arahnya.
Menurutnya beliau menaiki sebuah kereta kebal (APC) dengan sekumpulan anggota komando VAT69 untuk memasuki kampung itu dari Kampung Tanjung Labian.
"Setibanya di Kampung Tanjung Batu, setelah kesemua anggota VAT69 turun dari kenderaan, semasa mereka mengambil kedudukan di tanah, saya telah bergerak lebih kurang 100 meter ke hadapan di mana pada masa itu, saya ternampak seorang lelaki berada di atas anjung rumah menembak ke arah saya," katanya.
Mohd Nasir berkata beliau melepaskan tembakan pertama dari kereta kebal ke tanah di bawah rumah berkenaan namun penceroboh itu tidak berganjak dari kedudukannya.
Beliau kemudian melepaskan tembakan kedua ke arah dinding rumah berkenaan dan lelaki itu berdiri seolah-olah sedang mencari sesuatu.
"Saya lepaskan tembakan ketiga apabila dia tembak ke arah saya. Selepas tembakan ketiga, saya nampak lelaki itu jatuh," katanya.
Semasa ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dasuki Mokhtar apa yang dilakukannya selepas lelaki itu jatuh, Mohd Nasir berkata beliau meneruskan operasi pembersihan dan bergerak 100 meter lagi ke hadapan sambil menunggu anggota VAT69 mengambil kedudukan di tanah selari dengan kereta kebal yang dinaiki mereka.
"Mengapa anda tidak melakukan apa-apa terhadap penceroboh yang jatuh itu?" tanya Mohd Dasuki.
"Sebab keadaan masih tak selamat dan pada masa sama, kami ada pasukan VAT69 (di tanah) dan untuk memastikan keselamatan mereka, saya bergerak ke hadapan," jelasnya.
Mohd Nasir berkata mayat penceroboh itu dibiarkan di dalam rumah berkenaan walaupun selepas operasi itu berakhir di Kampung Tanjung Batu pada 5.30 petang pada hari itu.
Bagaimanapun, katanya beliau yakin mayat itu telah dikumpulkan oleh anggota komando VAT69 Superintendan Abdul Rani Alias pada 20 Mac tahun lepas.
Tiga puluh tertuduh, yang terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalam kes ini.
Sesetengah mereka menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, membawa masuk orang untuk menganggotai kumpulan pengganas atau secara sengaja melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.
Perbicaraan di hadapan hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah, bersambung pada Selasa.
No comments:
Post a Comment