Wednesday, 28 May 2014

Kanak-Kanak Mati Didera: Pemandu Teksi, Isteri Ditahan


Diterbitkan: Selasa, 27 Mei 2014 7:24 PM
Jenazah Muhammad Akir dibawa salah seorang ahli keluarganya, manakala Rashidi (baju putih kiri) ketika di Unit Forensik HKL disini, Selasa.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pemandu teksi dan isterinya berikutan kematian seorang kanak-kanak berusia enam tahun dipercayai akibat didera.
Kanak-kanak itu, Muhammad Akir Mustaqim Rashidi adalah anak tiri pemandu teksi yang berusia 35 tahun itu.
Dalam kejadian Isnin itu, pemandu teksi itu membawa kanak-kanak malang itu ke hospital pada pukul 1 petang selepas isterinya yang berusia 31 tahun memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan di rumah mereka di Pangsapuri Permai Ria, Ampang kira-kira pukul 5.30 petang, Isnin.

Mohd Adnan berkata, sebaik tiba di Hospital Ampang, doktor mengesahkan budak lelaki itu sudah meninggal dunia.
"Pemeriksaan mendapati ada kesan luka pada badan, tangan dan kaki kanak-kanak itu," katanya.
Jenazah Muhammad Akir kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Pasangan itu kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Difahamkan, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu mengalami kesan terbakar 33.5 peratus pada muka dan badan, dipercayai akibat terkena air panas.
Ketika ditemui di HKL, bapa kandung kanak-kanak itu, Rashidi Nordah berkata, beliau masih terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.
Beliau yang tidak tahu bekas isterinya sudah berkahwin lain berkata, mereka bercerai pada 2009 dan sejak itu  tidak pernah bertemu anaknya.
Rashidi berkata, bekas isterinya memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Muhammad Akir yang juga anak ke empat daripada lima beradik itu pada pukul 3 petang, Isnin.

No comments:

Post a Comment