Monday 12 May 2014

Bicara Kes Pecah Amanah Pengerusi NFCorp 23 Jun


Diterbitkan: Isnin, 12 Mei 2014 3:03 PM
Mohamad Salleh Ismail
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta akan didengar 23 Jun ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi pada 5 Mei lepas mengarahkan kes itu dibicarakan segera selepas menolak permohonan Mohamad Salleh untuk menggantung prosiding perbicaraan kesnya itu.
"Saya bersetuju dengan pihak pendakwaan. Kita akan meneruskan perbicaraan dengan memanggil saksi pertama pada 23 Jun ini memandangkan kes ini tiada perkembangan sejak 2012," katanya.

Terdahulu Awang Armadajaya memohon supaya mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu dalam bulan Jun memandangkan kes Mohamad Salleh telah tertangguh sejak 2012.
Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin pula memohon mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu pada November ini kerana sesuai bagi masa kehadiran Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang merupakan peguam utama dalam mengendalikan kes Mohamad Salleh.
Mahkamah juga menetapkan 26 Mei ini untuk rundingan prabicara bagi kedua-dua pihak serta 13 Jun untuk pengurusan kes.
Awang Armadajaya turut memaklumkan seramai 70 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan yang melibatkan 1,200 dokumen.
Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 65, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung'di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.
Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 Nov 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat itu yang beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.
Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.

No comments:

Post a Comment