Wednesday, 23 April 2014

Lans Koperal Mengaku Tak Salah Hilangkan Pistol


Diterbitkan: Selasa, 22 April 2014 6:50 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menghilangkan sepucuk pistol jenis Walter P99 serta peluru, tahun lalu.
Mohd Zainul Akramin Mohd Zain, 45, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan, Lebuhraya Taman Connaught di sini pada 2.30 pagi 31 Mei 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 35 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Majistret Saifulakmal Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dua 'ulat tiket' masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku menawarkan tiket kepada penumpang bas ekspres tanpa kuasa yang sah tahun lepas.

Majistret Nur Azura Murah turut memerintahkan Siti Mahmudah Mahmud, 30, dan Muhammad Abuzar Ghifari Shaharom, 25, menjalani hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Siti Mahmudah, seorang penganggur, didakwa melakukan kesalahan itu di Terminal Pudu Sentral pada 10.30 pagi 2 Ogos 2013.

Muhammad Abuzar, seorang pemeriksa tiket, pula didakwa melakukan perbuatan itu di Hentian Bas Jalan Duta pada 8 malam 17 Julai 2013.Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya S.Ravindran.

No comments:

Post a Comment