Wednesday, 12 March 2014

Polis Tembak Mati 3 Penjenayah Warga Asing


Diterbitkan: Selasa, 11 Mac 2014 11:53 AM
SUNGAI PETANI: Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing dalam Op Cantas Khas di Jalan Ladang Kuala Muda Sungai Petani-Baling dekat sini awal Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, tiga penjenayah terbabit yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun itu melepaskan tembakan dahulu ke arah pihak polis ketika diminta menghentikan kenderaan mereka.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, lapan anggota polis termasuk seorang pegawai yang sedang menjalankan Op Cantas Khas mengekori kenderaan penjenayah itu sebelum meminta mereka berhenti setelah mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

Katanya, kumpulan penjenayah itu melepaskan tembakan dan polis mempertahankan diri dengan membalas tembakan itu menyebabkan tiga penjenayah tersebut maut di tempat kejadian.
"Dalam kejadian itu, seorang anggota Op Cantas Khas juga terkena tembakan. Bagaimanapun anggota berkenaan terselamat kerana memakai baju kalis peluru. Anggota berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kereta yang digunakan oleh para penjenayah berkenaan iaitu dari jenis Proton Perdana telah disahkan kereta curi.
"Hasil pemeriksaan polis turut menemui parang, sejumlah dadah dan sepucuk senjata api (pistol) dalam kenderaan penjenayah-penjenayah itu," katanya.
Mayat ketiga-tiga penjenayah berkenaan kini berada di Hospital Sultan Abdul Halim.

No comments:

Post a Comment