Thursday, 13 March 2014

Penguatkuasa JPJ cedera ditumbuk pemandu


Seorang pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera di mulut selepas ditumbuk seorang pemandu kereta di Kilometer 1 Jalan Stadium di Alor Setar.
  
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Asrul Hadi Zainon, 34, yang mengetuai sekatan jalan raya ditumbuk lelaki berusia 31 tahun selepas merempuh sekatan berkenaan.
  
Ketua Penguatkuasa JPJ Kedah Fatimah Saad berkata ketika itu, sejumlah 11 anggota jabatan berkenaan menjalankan sekatan jalan raya dan sebuah kereta jenis Proton Wira, yang menunggu giliran untuk diperiksa, dikatakan membelok ke kiri jalan dan melanggar sebuah 'kon'.
  
Beliau berkata kereta itu, yang tidak memiliki cukai jalan, hampir merempuh seorang anggota lain sebelum berhenti dalam jarak 100 meter di depan.
  
"Lelaki berusia 31 tahun itu keluar dari keretanya meluru ke arah Asrul Hadi dan terus menumbuk muka Asrul sehingga mangsa mengalami cedera pada bahagian bibir sebelah kanan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JPJ Kedah hari ini.
  
Fatimah berkata anggota itu tidak melawan sebaliknya mempertahankan diri sebelum dibantu yang lain bagi meleraikan kekecohan berkenaan.
  
Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
  
Beliau berkata pemeriksaan pada kereta itu mendapati cukai jalannya tamat tempoh pada November tahun lepas dan kenderaan berkenaan disita JPJ.
  
Fatimah berkata pihaknya akan mengeluarkan saman terhadap pemilik kenderaan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 90(1) akta sama kerana tidak mempunyai cukai jalan.
  
Beliau menasihati pengguna yang terlibat dalam sekatan jalan raya agar tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah seperti merempuh sekatan dan bertindak kasar terhadap anggota bertugas.
  
Katanya, pengguna perlu mengikut peraturan yang ditetapkan saman hanya dikeluarkan bagi mereka yang melanggarnya seperti tidak mempunyai lesen dan cukai jalan.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam.
  
- Bernama

No comments:

Post a Comment