Wednesday, 26 March 2014

Juruteknik Mesin ATM Mengaku Tidak Bersalah Curi RM80,850


Diterbitkan: Selasa, 25 Mac 2014 5:19 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencuri RM80,850 daripada mesin ATM Maybank pada 7 Mac lepas.
Hamdan Abu Hussin, 27, yang bekerja dengan G4S Safeguard, didakwa melakukan perbuatan itu di ruang legar Bangunan JPN, Presint 2, Putrajaya pada 3.20 petang mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim, Norsharidah Awang membenarkan Hamdan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 April untuk sebutan kes.

Beliau turut mengenakan syarat tambahan iaitu Hamdan perlu melapor diri di Balai Polis Travers sebulan sekali, dan jika tertuduh mengganggu proses siasatan, jaminan akan ditarik balik.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin membantah sebarang jaminan kerana Hamdan, yang bekerja sebagai juruteknik sejak Mac 2010, memiliki pengetahuan dan kemahiran mengendali mesin ATM di seluruh Putrajaya.
Bagaimanapun, peguam Farhan Read memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3,000 atas alasan tertuduh tinggal bersama ibu bapanya, yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci dan pemandu teksi dengan pendapatan sekitar RM1,800 sebulan.

No comments:

Post a Comment