Wednesday 19 February 2014

Kenyataan Mengenai Pertemuan Guan Eng Daripada Sumber Yang Dipercayai - Ruslan

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim pada Selasa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kenyataan media yang dikeluarkannya berhubung pertemuan Lim Guan Eng dengan seorang pemimpin kanan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura diperoleh melalui sumber yang boleh dipercayai.
Ruslan, 55, dalam pernyataan tuntutannya berkata kenyataan media itu diperoleh daripada sumber dalaman yang dipercayai bahawa memang wujud pertemuan itu dan ia diakui sendiri oleh ketua menteri Pulau Pinang itu dalam keterangannya pada Isnin.
Menjawab soalan peguam Americk Sindhu, yang mewakili Lim bagaimana sumber dalaman itu diperoleh, Ruslan berkata ia diperoleh melalui laman web yang beliau baca.

"Saya tidak ingat laman web yang mana satu saya baca yang mengandungi kenyataan itu dan setelah berbincang dengan ahli Perkasa yang lain saya rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk mengetahui apa yang dibincangkan dalam pertemuan Guan Eng dengan pemimpin kanan Singapura itu," katanya dalam perbicaraan hari kedua kes saman fitnah RM15 juta yang difailkan Lim terhadapnya dan enam yang lain.
Ruslan berkata berikutan itu timbul persoalan dalam kenyataan yang dikeluarkannya dan ia memerlukan penerangan yang jelas daripada Lim untuk menerangkan keadaan.
Ruslan berkata kenyataan media itu dikeluarkan dengan niat baik melalui ayat-ayat 'pertanyaan' yang hanya memerlukan penjelasan daripada pihak-pihak yang terlibat.
"Ia dikeluarkan atas tanggungjawab Perkasa sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terkenal dengan polisi untuk mengetengahkan isu-isu berkaitan ketaatan kepada agama, bangsa dan negara," katanya sambil menambah Perkasa mempunyai keanggotaan lebih 400,000 orang.
Sementara itu, ketika disoal peguam Americk sama ada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ruslan dirujuk terlebih dahulu kepada Datuk Ibrahim Ali, yang merupakan Presiden Perkasa, Ruslan berkata:"Saya tidak merujuk kepadanya kerana telah diberi kebebasan untuk mengeluarkan kenyataan selagi tidak melanggar polisi".
Menjawab soalan peguam Saleh Ahmad, yang mewakilinya Ruslan berkata: "Kenyataan itu telah disalah tafsir dan diolah sebahagiannya oleh The New Straits Time Press(M)Sdn Bhd dan Utusan Melayu(M)Berhad, yang merupakan defendan dalam kes ini, yang telah mengakibatkan maksud dan kandungan kenyataan media yang asal tidak dinyatakan dengan betul".
Ruslan berkata beliau pernah membuat permohonan maaf kepada Datuk Mohamad Azman Yahya untuk membetulkan niat dan tujuan kenyataan media itu diterbitkan olehnya akibat salah tafsir NSTP dan Utusan Melayu dalam menerbitkan kenyataan tersebut dan tidak pernah memohon maaf kepada Lim.
Pada 11 Mei 2012, Lim selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu terhadap Ruslan, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, Perkasa dan bekas Pengarang Kumpulan New Straits Time Press Datuk Syed Nadri Syed Harun.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah The New Straits Time Press(M)Sdn Bhd(NSTP), Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu(M)Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu(M)Berhad.
Dalam pernyataan tuntutannya Lim mendakwa Ruslan telah menerbitkan satu kenyataan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011 yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahya memberi penjelasan berhubung pertemuannya (Lim) bersama Datuk Seri Kalimullah Hassan dan pemimpin kanan parti PAP Singapura pada 12 Ogos 2011.
Setiausaha sgung DAP itu mendakwa kenyataan yang dikeluarkan itu membawa maksud bahawa beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.
Oleh itu, Lim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, yang kesemuanya berjumlah RM15 juta serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Beliau juga memohon defendan membuat permohonan maaf yang disiarkan pada muka surat hadapan akhbar NST dan Utusan dan menuntut suatu aku janji oleh kedua-dua akhbar itu bahawa tidak akan menyiarkan perkataan-perkataan fitnah itu pada masa akan datang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin bersambung 23 April depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment