Saturday, 28 September 2013

Tiga Pesalah Muda Jalani Sebatan Ringan di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Tiga pesalah muda pada Khamis menjalani hukuman sebatan ringan di hadapan anggota keluarga masing-masing di Mahkamah Sesyen Ampang di sini.
Jurulatih peribadi Firman Shah Marzuki, 21, Mohammad Talip Abd Kadir, 20, dan Hazmirul Zulkafli, 19, kedua-duanya mekanik dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik dan hukuman sebatan ringan selepas mengaku bersalah merompak berkumpulan pada 12 Sept lepas.
Masing-masing kelihatan tenang ketika dikenakan dua kali sebatan ringan menggunakan rotan yang dijalankan oleh pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.
Dalam prosiding itu, pelaksanaan hukuman tersebut turut dihadiri beberapa pegawai penjara dan doktor perubatan serta orang awam di galeri awam termasuk wartawan.
Mereka didakwa bersama-sama Mohd Ramdan Mohd Ali, 24, merompak bersenjatakan pisau dan mengambil kamera digital Sony, kunci kereta Toyota Vios, telefon imbit Nokia, wang tabung RM600 milik Yeo Chai Nee, 32, kesemuanya bernilai RM1,200 di Jalan AG 1/4 Astana, Gombak dekat sini pada 4.30 pagi, 17 Mei 2012.
Pada 12 Sept lalu, Manira menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan empat kali sebatan terhadap Mohd Ramdan yang bukan merupakan pesalah muda.
Firman, diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM5,000 dengan seorang penjamin mengikut Seksyen 293(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah dan sebatan ringan dua kali mengikut Seksyen 2(1)(c) kanun sama.
Muhammad Talip dan Hazmirul, masing-masing diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama 12 bulan dengan cagaran RM5,000 berserta seorang penjamin dan hukuman sebatan ringan mengikut seksyen yang sama.
Terdahulu, sebelum hukuman sebatan dilaksanakan, mahkamah meminta doktor memeriksa tahap kesihatan ketiga-tiga mereka dengan hukuman dimulakan terhadap Hazmirul disusuli Firman dan Muhammad Talip sambil disaksikan ibu bapa dan anggota keluarga mereka yang diminta berdiri di belakang mereka.
Manira kemudian menasihati ketiga-tiga pesalah muda itu supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi pada masa hadapan dan bijak memilih rakan.
"Mahkamah berharap agar pihak keluarga sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing supaya tidak terlibat dengan jenayah dan mengulanginya, hari ini mahkamah beri peluang kerana mereka pesalah muda. "Ini hanya sebatan ringan, cuba kamu bayangkan sebatan sebenar yang dijalankan di penjara," katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie manakala Firman diwakili peguam bela Vasu Dev dan peguam Mohd Riza Zakaria mewakili Hazmirul dan Muhammad Talip. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment