PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mensabitkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Mahkamah Rayuan di sini diberitahu, Isnin.
Peguam Datuk Hazman Ahmad berkata anak guamnya Azilah Hadri, 34, tidak memiliki atau mengawal bahan letupan C4 yang didakwa digunakan dalam pembunuhan wanita itu.
"Tidak ada bahan letupan C4 yang disimpan di dalam stor Unit Tindakan Khas. Mereka (Azilah dan seorang lagi tertuduh) tidak dilatih mengendalikan bahan letupan dan bom. Bom dikawal ketat di dalam stor polis," katanya.
Beliau berkata rekod log Azilah menunjukkan beliau hanya dibekalkan sepucuk pistol Glock dan peluru.
Keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan mendedahkan bahawa Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan yang dibersihkan pada malam 19 Oktober, 2006.
Hazman berhujah terdapat ketidaktekalan dalam keterangan saksi pendakwaan berhubung maklumat yang dikatakan diberi oleh Azilah yang membawa kepada penemuan lokasi kejadian.
Beliau berkata Azilah tidak pernah mendedahkan lokasi Puncak Alam tempat Altantuya ditembak dan diletupkan, dan menambah terdapat salah laksana keadilan terhadap Azilah memandangkan polis terlebih dahulu memperoleh maklumat mengenai lokasi kejadian.
"Terdapat percanggahan serius dalam keterangan saksi pendakwaan dengan apa yang Azilah perkatakan," kata Hazman, yang berhujah dalam rayuan Azilah dan Sirul Azhar Umar, 39, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 mensabit dan menjatuhi hukuman mati ke atas mereka kerana membunuh Altantuya, 28.
Mereka melakukan kesalahan itu di Mukim Bukit Raja di Klang dekat sini antara 10 malam 19 Okt, 2006 dan 1 pagi 20 Oktober, 2006.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt, 2008 tanpa dipanggil membela diri selepas pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Hazman berkata hakim perbicaraan terkhilaf dalam undang-undang dan fakta ketika menerima sebagai keterangan maklumat yang diberi Azilah mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan dan menggesa Mahkamah Rayuan supaya tidak menerima maklumat itu.
Hazman berkata Azilah memberi keterangan bersumpah dan disoal balas bertalu-talu oleh pendakwaan namun hakim menolak pembelaan alibi anak guamnya itu sebagai penafian semata-mata.
Sementara itu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar berkata kegagalan pendakwaan memanggil DSP Musa Safri untuk memberi keterangan menjadikan perbicaraan kes itu sebagai perbicaraan silap.
Beliau berkata hanya Musa yang dapat mengesahkan kebenaran afidavit yang difailkan oleh Abdul Razak yang diterima Mahkamah Tinggi, dan kemudian membebaskannya (Abdul Razak).
"Terdapat bahagian dalam afidavit itu yang memudaratkan tertuduh dan pembelaan dinafikan satu-satunya cara untuk mencabar afidavit itu," katanya.
Beliau berkata pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.
Kamarul Hisham berkata rekod telefon Abdul Razak menunjukkan lebih 30 teks mesej yang dihantar penganalisis politik itu kepada Musa antara 7 dan 19 Oktober, 2006, dengan 12 daripadanya direkodnya pada 19 Oktober, 2006, malam Altantuya dibunuh.
Beliau juga berhujah di hadapan panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali bahawa penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yassin tidak menyatakan motif pembunuhan itu.
Dua lagi hakim ialah Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.
Kamarul Hisham turut berhujah Sirul Azhar terdedah kepada 'publisiti buruk' semasa perbicaraan sungguhpun tiga akuan berkanun dan salinan kenyataan beramaran dipercayai diberi oleh Sirul Azhar yang dimuat naik dalam laman web internet, menjadikannya satu perbicaraan silap.
Bagaimanapun, Apandi menempelak, dan bertanya di manakah dalam penghakiman itu hakim membayangkan bahawa beliau telah dipengaruhi.
Beliau berkata tidak mungkin bagi hakim secara umumnya akan terpengaruh dengan laporan media memandangkan mereka tidak ada masa untuk melayari laman web berikutan beban tugas mereka.
"Sekiranya penghujahan ini dibenarkan, maka semua perbicaraan jenayah, akan menjadi perbicaraan silap," kata Apandi, dan menambah hakim bertindak berdasarkan fakta dan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan.
Pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah akan berhujah esok. - BERNAMA