Thursday, 19 April 2018

Umno - apa selepas hari ini, 19 Apr 2018?

Selepas tarikh hari ini, parti sarkas dianggap "hantu jembalang"!

Telah tular satu Malaya bahawa parti sarkas sewajarnya dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sekiranya ia masih gagal mengadakan pemilihan parti pada hari ini, 19 April 2018.

Setakat ini, kita tidak nampak ada sebarang tanda tanda sughrodan kubro (kecil dan besar) pemilihan parti sarkas akan diadakan pada hari ini.
Justeru itu, jika tiada pemilihan dibuat hari ini, ROS yang begitu 'cekap' keluarkan surat pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sehari sebelum pembubaran parlimen dan kurang dua jam sebelum pendengaran kes semakan kehakiman ke atas ROS oleh BERSATU; dan 'cekap berurusan dengan isu pemilihan DAP, maka rakyat mengharapkan kecekapan yang sama dipamerkan ke atas parti sarkas.

Baru orang kata fair and square.

Lagi pun Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin prinsip kesamarataan di sisi undang-undang atau equality before the law.
Untuk rekod, kali terakhir parti sarkas adakan pemilihan dalam parti mereka adalah pada 19 Oktober 2013.

Wednesday, 11 April 2018

Mahathir dedah cara Najib 'tipu dan curi' PRU14

ULASAN l Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razakberada dalam keadaan cemas. Sentimen rakyat 90 peratus menolak Najib. Mereka tidak akan undi BN dalam PRU14.
Oleh itu sudah ternampak penipuan yang dilakukan dan akan dilakukan oleh Najib.
Demikianlah dunia percaya Najib akan tipu sehingga The Economist UK telah siar berita bertajuk Najib akan curi PRU14 di Malaysia.
Apakah jenis penipuan yang sedang dilakukan oleh Najib. Saya senarai dibawah penipuannya.
  • Senarai pengundi sudah diubah sehingga empat juta tidak ada alamat yang penuh.
  • Beratus pengundi mempunyai nama yang sama, umur sama tetapi tinggal di negeri-negeri berlainan.
  • Hingga 70 pengundi memiliki alamat yang sama – iaitu tinggal di satu rumah – walaupun berlainan kaum. Apabila diselidik terdapat hanya dua orang di rumah itu.
  • Pengundi pos dan pengundi awal bertambah hingga 1 juta. Cara mengundi pos tidak jelas dan terbuka untuk penipuan. Peti undi boleh disembunyi dari pemerhati parti lawan. Besar kemungkinan kertas undi ditambah.
  • Sempadan kawasan pilihanraya diubah supaya kaum-kaum diasingkan. Kononnya Melayu mudah disogok supaya mengundi BN. Mengikut Najib orang Cina sukar disogok. Ini dilihat dalam PRU13.
  • Pengundi terutama kakitangan Kerajaan ditakutkan dengan dakwaan kononnya Najib tahu siapa undi siapa. Pegawai dan kakitangan Kerajaan diberi amaran oleh Najib sendiri bahawa mereka mesti undi BN atau tindakan akan diambil terhadap mereka. Sebenarnya tiada siapa yang akan tahu siapa undi siapa apabila perkiraan dibuat.
  • Bantuan wang kepada parti lawan disekat dengan tindakan oleh LHDN dan MACC menambah cukai atau membeku wang di bank supaya perniagaan tidak dapat diteruskan.
  • Semua kawan-kawan pemimpin parti lawan ditegah berdekat dengan pimpinan parti lawan. Maka pemimpin parti lawan kehilangan semua kawan. Sudah tentu mereka tidak boleh bantu Pakatan Harapan. Kontrak mereka, perniagaan mereka, hutang bank mereka akan dihentikan jika masih berjumpa pemimpin parti lawan. Tindakan-tindakan ini menentukan parti lawan tidak ada kewangan yang diperlukan untuk biayai pilihanraya. Sebaliknya Najib memiliki banyak duit yang diselewengkan dari 1MDB dan lain-lain dana kerajaan.
  • Sogokan wang dan barangan kepada bakal pengundi dibuat secara terbuka oleh Najib dan Umno sebab polis atau SPRM tidak dibenar oleh Najib mengambil tindakan undang-undang.
  • Tempat mengundi ditukar tanpa diberitahu pengundi supaya apabila mereka pergi ke tempat mengundi biasa nama mereka tidak ada disitu. Tempat undi mereka dipindah jauh dari tempat tinggal pengundi. Dengan itu mereka tidak dapat mengundi. Hak mereka dicabul.
  • Daftar pengundi baru disembunyi daripada parti lawan sehingga tidak dapat parti lawan berkempen di kalangan mereka.
  • Pada kebiasaannya parti politik yang baru ditubuh didaftar oleh Pendaftar Pertubuhan dengan segera. Tetapi permohonan gabungan parti pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan tidak dijawab setelah sembilan bulan berlalu. Keadaan tidak menentu ini meletak Pakatan Harapan dalam keadaan serba salah. Pakatan Harapan tidak dapat membuat persiapan sebagai sebuah parti dengan mengguna satu logo dan satu simbol baginya. Jika diketahui Pakatan Harapan tidak akan didaftar maka parti-parti dalam Pakatan Harapan perlu guna empat simbol sendiri. Ini akan mengelirukan pengundi berkenaan yang manakah simbol bagi parti-parti lawan yang bergabung dalam Pakatan Harapan.
  • Kononnya Pakatan Harapan tidak dilulus pendaftarannya ialah kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mengikut perlembagaannya. Ini disebut dalam ucapan ROS tetapi tidak disampaikan secara bertulis kepada BERSATU. BERSATU tidak dapat perbetulkan kesalahannya untuk mendapat kelulusan ROS. Arahan mahkamah kepada ROS untuk jawab surat BERSATU hanya menghasil surat dari ROS meminta tambahan maklumat yang sudahpun lama diberi oleh BERSATU. Di antara sebab-sebab yang banyak ialah kerana mesyuarat agung BERSATU tidak mengikut perlembagaan. BERSATU mesti adakan mesyuarat cawangan dahulu. BERSATU parti baru dan belum ada cawangan jauh sekali mengadakan cawangan yang disahkan oleh ROS. BERSATU hanya dapat tubuh bahagian dan tidak semua diluluskan oleh ROS. Sebab itu BERSATU terpaksa mengadakan mesyuarat agung BERSATU dengan dihadiri oleh wakil bahagian yang dilulus sahaja. Ternampak jelas ROS hendak cari salah supaya Pakatan Harapan tidak didaftar. Sekarang ROS telah bubar sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia supaya tidak boleh bertanding dalam pilihanraya. Bermacam syarat dikenakan termasuk ditegah pamer gambar pengerusinya. Pembubaran selama 30 hari didapati sama dengan pilihanraya. Niat jahat Kerajaan dan ROS amat jelas.
Undi Pos
Peraturan mengundi pos tidak jelas. Pengundi boleh undi di rumah dan hantar undinya kepada SPR. Tidak ada polling agen parti pembangkang mengawasi pengundi atau sesiapa lain semasa mengundi. Parti lawan tidak dapat mengetahui siapa yang mengundi, ke mana undi itu dihantar, siapa yang menyimpannya, di mana peti undi (jika ada) disimpan.
Pengundi pos juga disenarai dalam senarai pengundi biasa dan boleh mengundi secara biasa. Besar kemungkinan pengundi undi dua kali. Juga undi mungkin tidak dapat dirahsiakan; yang mana ini mendedahkan kepada ugutan tindakan tertentu oleh Kerajaan.
Amatlah jelas proses PRU14 akan dipenuhi dengan aneka jenis penipuan oleh Najib. Ia tidak akan bersih. Benarlah Najib akan mencuri PRU ke -14.
Namun penipuan ini boleh dibantut oleh rakyat dengan keluar mengundi lebih dari 85 peratus pengundi dalam tiap-tiap kawasan pilihanraya.
Dan sekarang hari mengundi ditetapkan pada hari Rabu, hari bekerja. Ini satu lagi cara Najib untuk sekat rakyat dari mengundi. Ya, semasa saya PM pernah hari mengundi ditentukan pada hari Isnin. Tetap diberi cuti pada hari itu.
Jangan takut.
Undi biasa di tempat mengundi adalah rahsia. Jika kelebihan mengatasi 10,000 bagi Pakatan Harapan, undi pos tidak akan mencukupi untuk disumbat ke dalam peti undi.
Jika disogok – ambil sahaja wang dan hadiah. Wang dan hadiah ini datang dari wang pengundi sebagai rakyat yang dicuri oleh Najib.

Pengundi tidak perlu terima kasih kepada Najib atau mengundi BN.
Jika disuruh bersumpah, bersumpahlah. Tetapi buat niat lain – niat untuk menolong Pakatan Harapan Niat lebih diterima dari sumpah paksa yang dilafaz.

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah bekas perdana menteri keempat yang dicalonkan sekali lagi ke jawatan itu oleh Pakatan Harapan. Beliau kini adalah pengerusi BERSATU dan menerajui gabungan pembangkang, Pakatan Harapan.
Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Kerajaan lebih menindas jika Najib menang, kata badan pemikir AS

PRU14 | Badan pemikir AS Majlis Hubungan Luar (CFR) menjangkakan Malaysia akan menjadi negara yang lebih "menindas" sekiranya Datuk Seri Najib Razak dan BN menang lagi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Jika Najib dan pakatannya menang dalam pilihan raya ini - terutama jika menang dengan majoriti besar - mereka akan memerintah Malaysia dalam era yang lebih menindas.
"Najib menggunakan kuasanya secara menindas pada penggal sebelumnya, jika diberi satu lagi penggal dia boleh mengubah Malaysia ke arah negara seperti Turki atau negara lain yang lebih autoritarian," kata Joshua Kurlantzick, pegawai CFR untuk Asia Tenggara dalam tulisan di blog.
Kurlantzick juga percaya kemenangan besar BN tidak menjamin pengukuhan golongan konservatif dan Islamis di Malaysia.
"Jika Najib tidak menang besar, PAS tidak begitu berupaya membuat tuntutan daripada kerajaan baru.
"Namun jika Najib tidak menang besar, dan perpecahan PAS daripembangkang menjadikan faktor kemenangan Najib, PAS dan sekutu Islamisnya akan boleh membuat tuntutan daripada kerajaan baru," katanya.
Menurut Kurlantzick lagi, sekiranya pakatan pembangkang yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad menang dalam PRU kali ini, ia akan menjadi kejutan besar, terutamanya apabila pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim masih di penjara.
Tambahnya, meskipun pembangkang mendapat sokongan pada 2013, ketidakpuasan hari rakyat dengan skandal 1MDB, selain dakwaan rasuah dalam kerajaan, serta kos hidup yang tinggi, Najib dan BN masih dijangka akan menang.

Thursday, 15 March 2018

Ambiga: K'jaan mungkin campur tangan dalam kehakiman

Peguam Ambiga Sreenevasan hari ini memberitahu tujuh hakim Mahkamah Persekutuan bahawa isu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju menasihati pelantikan dan lanjutan dua hakim kanan boleh dihakimi.
Memetik keputusan dalam kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi, Ambiga berkata apabila keputusan eksekutif tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan, mahkamah wajib campur tangan.
Beliau berkata tindakan melanjutkan tempoh Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamh Rayuan Tun Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan akan melemahkan badan kehakiman.
"Kami  katakan selepas penghakiman dalam (kes) Semenyih Jaya dan Indira Gandhi bahawa nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong tidak kebal daripada penelitian.
"Para eksekutif tidak boleh dibenarkan mengganggu kebebasan badan kehakiman, tindakan dalam (lanjutan dan pelantikan) tidak konsisten dengan perlembagaan dan undang-undang. Mahkamah adalah wajib untuk campur tangan," katanya memetik kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 7 Julai tahun lalu.

Wednesday, 14 March 2018

TV3 diarah bayar RM200,000 pada bekas presiden Majlis Peguam

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) membayar RM200,000 kepada bekas presiden Majlis Peguam Manjeet Singh Dhillon kerana fitnah.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim juga menolak rayang bekas anggota parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan, Utusan Melayu (M) Berhad dan bekas wartawan Utusan Malaysia Raja Syahrir Abu Bakar untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi agar mereka membayar ganti rugi berjumlah RM350,000 kepada Manjeet.
Pada 2015, Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Arifin mengarahkan Utusan membayar RM200,000 dan Gobalakrishnan RM150,000 selepas didapati bersalah memfitnah Manjeet. Namun Nor Bee menolak saman yang difailkan terhadap TV3.
"Plaintif (Manjeet) telah membuktikan kesnya terhadap TV3, dan hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu telah terkhilaf," kata Abang Iskandar.
Panel yang dianggotai Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Mary Lim Thiam Suan itu turut mengarahkan TV3 membayar RM70,000 sebagai ganti rugi kos, manakala Utusan dan Gobalakrishnan diarahkan membayar RM20,000.

Friday, 9 March 2018

Dr M: Najib telah lakukan sekurang-kurangnya 62 kesalahan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melakukan sekurang-kurangnya 62 kesalahan sejak beliau memegang jawatan pada 2009, dakwa pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya telah senaraikan kesalahannya dan menemui 60 daripadanya. Sampai hari ini saya telah senarai 60 keburukan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib," dakwanya ketika melancarkan manifesto Pakatan Harapan malam tadi.
Kesalahan terbaru, kata Mahathir, adalah rampasan kapal layar mewah, Equanimity, yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low.
Pada 21 Februari, Biro Siasatan Persekutuan AS (FBI) meminta pihak berkuasa Indonesia untuk menyerbu kapal layar itu.
Selepas menjejaki kapal layar itu selama lapan hari, pasukan bersama terdiri daripada polis pusat dan polis marin Indonesia serta pegawai FBI merampas kapal itu di Benoa, Bali, minggu lalu.

Wednesday, 14 February 2018

Polis belum soal saya tentang dakwaan Sarawak Report, kata Ambiga


 MALAYSIAKINI       13 Feb 2018, 3:12 
Bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan, berkata polis belum berjumpa dengannya, tiga bulan selepas mengumumkan bahawa mereka akan menyiasatnya atas dakwaan khianat awam.
Polis mengumum hasrat untuk menyiasat Ambiga selepas beliau dinamakan oleh Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown sebagai sumber artikel yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Sudah lebih dua bulan dan mereka belum menghubungi saya," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Ambiga, beliau bersedia membantu siasatan polis jika diperlukan.
Dilaporkan bahawa pada 1 Nov tahun lalu, pengerusi NGO Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) Zulkarnain Mahdar membuat laporan polis terhadap Ambiga berikutan pendedahan dalam kenyataan pembelaan Brown terhadap saman fitnah yang difailkan oleh PAS di UK.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/412128#dUi8DaXIpJ4OlbAx.99