Seorang pegawai pendakwa dan 14 anggota polis berpangkat rendah adalah antara 8,706 pesalah dadah yang ditahan sejak 1 Jan hingga 28 Okt tahun ini.
Ketua Polis Terengganu Aidi Ismail berkata pegawai serta anggota polis yang ditahan itu berusia antara 30 dan 40 tahun, dipercayai terlibat dengan gejala dadah disebabkan beberapa faktor, termasuk masalah keluarga, perasaan ingin tahu serta pergaulan dengan pesalah dadah yang lain.
"Kes melibatkan anggota polis ini ada yang sudah dalam proses pertuduhan di mahkamah dan ada yang dalam peringkat siasatan.
"Kesemua mereka yang positif dadah telah digantung tugas dan pihak polis masih meneruskan ‘Op Blue Devil’ bagi mengesan sekiranya masih terdapat dalam kalangan kami (polis) yang terlibat dengan gejala tidak sihat ini," katanya kepada pemberita selepas program Perasmian Pelupusan Barang Kes Narkotik Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.