Isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor adalah antara individu yang menerima notis hadir ke SPRM esok untuk membantu siasatan.
Portal Utusan Malaysia yang memetik sumber, melaporkan selain kedua-dua individu itu, turut menerima notis sama adalah bekas pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor.
“Mereka dikehendaki hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9 pagi esok berhubung siasatan yang sedang dijalankan SPRM,” kata sumber itu hari ini.
Mengikut sumber itu, semua mereka akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur Khamis ini atas pertuduhan beberapa kes penyelewengan dan salah guna kuasa semasa era pentadbiran kerajaan BN terdahulu.
Sumber itu tidak menolak kemungkinan mereka akan ditahan di lokap SPRM.