Thursday 15 March 2018

Ambiga: K'jaan mungkin campur tangan dalam kehakiman

Peguam Ambiga Sreenevasan hari ini memberitahu tujuh hakim Mahkamah Persekutuan bahawa isu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju menasihati pelantikan dan lanjutan dua hakim kanan boleh dihakimi.
Memetik keputusan dalam kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi, Ambiga berkata apabila keputusan eksekutif tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan, mahkamah wajib campur tangan.
Beliau berkata tindakan melanjutkan tempoh Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamh Rayuan Tun Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan akan melemahkan badan kehakiman.
"Kami  katakan selepas penghakiman dalam (kes) Semenyih Jaya dan Indira Gandhi bahawa nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong tidak kebal daripada penelitian.
"Para eksekutif tidak boleh dibenarkan mengganggu kebebasan badan kehakiman, tindakan dalam (lanjutan dan pelantikan) tidak konsisten dengan perlembagaan dan undang-undang. Mahkamah adalah wajib untuk campur tangan," katanya memetik kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 7 Julai tahun lalu.

Wednesday 14 March 2018

TV3 diarah bayar RM200,000 pada bekas presiden Majlis Peguam

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) membayar RM200,000 kepada bekas presiden Majlis Peguam Manjeet Singh Dhillon kerana fitnah.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim juga menolak rayang bekas anggota parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan, Utusan Melayu (M) Berhad dan bekas wartawan Utusan Malaysia Raja Syahrir Abu Bakar untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi agar mereka membayar ganti rugi berjumlah RM350,000 kepada Manjeet.
Pada 2015, Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Arifin mengarahkan Utusan membayar RM200,000 dan Gobalakrishnan RM150,000 selepas didapati bersalah memfitnah Manjeet. Namun Nor Bee menolak saman yang difailkan terhadap TV3.
"Plaintif (Manjeet) telah membuktikan kesnya terhadap TV3, dan hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu telah terkhilaf," kata Abang Iskandar.
Panel yang dianggotai Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Mary Lim Thiam Suan itu turut mengarahkan TV3 membayar RM70,000 sebagai ganti rugi kos, manakala Utusan dan Gobalakrishnan diarahkan membayar RM20,000.

Friday 9 March 2018

Dr M: Najib telah lakukan sekurang-kurangnya 62 kesalahan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melakukan sekurang-kurangnya 62 kesalahan sejak beliau memegang jawatan pada 2009, dakwa pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya telah senaraikan kesalahannya dan menemui 60 daripadanya. Sampai hari ini saya telah senarai 60 keburukan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib," dakwanya ketika melancarkan manifesto Pakatan Harapan malam tadi.
Kesalahan terbaru, kata Mahathir, adalah rampasan kapal layar mewah, Equanimity, yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low.
Pada 21 Februari, Biro Siasatan Persekutuan AS (FBI) meminta pihak berkuasa Indonesia untuk menyerbu kapal layar itu.
Selepas menjejaki kapal layar itu selama lapan hari, pasukan bersama terdiri daripada polis pusat dan polis marin Indonesia serta pegawai FBI merampas kapal itu di Benoa, Bali, minggu lalu.