Wednesday 15 February 2017

Mahfuz: PAS perlu tarik diri dari k’jaan S'gor

Pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH secara jelas memutuskan hubungan kerjasama dengan PKR, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Oleh itu, ahli parlimen PAS berkenaan berkata parti tersebut kini perlu mempertimbangkan untuk menarik diri dari kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR.
“Sudah terang lagi bersuluh, PKR seperti mana BERSATU sudah mempunyai hubungan kerjasama politik dengan DAP dan AMANAH,malah telah menanda tangani 'perjanjian kerjasama politik' untuk meranapkan kuasa politik Umno/BN pada PRU ke-14 nanti.
“Oleh itu secara prinsipnya hubungan kerjasama PAS dan PKR yang sedia terjalin sudah terbatal dengan keputusan dasar yang diumumkan oleh Presiden PAS,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, PAS tidak perlu menunggu hingga muktamar parti itu pada April nanti untuk menentukan kedudukannya dalam hubungan kerjasama dengan PKR.
Ahad lalu, Hadi menutup rapat pintu bekerjasama dengan BERSATU walaupun rundingan berterusan diadakan oleh pemimpin kanan kedua-dua pihak.
Presiden PAS itu menegaskan bahawa mereka tidak akan mempunyai sebarang kaitan dengan pihak yang bekerjasama dengan DAP dan parti serpihannya, AMANAH.

Mursyidul Am PAS tak ada tiga kolam renang

ULASAN Kalau media massa lapor hujah Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dengan betul, kesimpulan yang boleh saya buat ialah PAS tak terima RM90 juta daripada Umno.
Saya kata “kalau”. Saya tak kata PAS atau orang tertentu dalam PAS tak terima rasuah daripada Umno atau daripada orang tertentu dalam Umno.
Kalau ikut cakap Hashim, PAS tak terima rasuah pasal dia (Hashim) masih pakai kereta Proton Saga dan tinggal di rumah yang nilainya antara RM50,000 dengan RM60,000 saja.
Jadi dakwaan anggota Dewan Undangan (Adun) Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi kerusi Salor, Kelantan, Datuk Seri Husam Musa yang PAS terima derma RM90 juta daripada Umno tak betullah.
Hashim pakai Saga saja
Kalau PAS terima duit macam itu punya banyak, kita akan nampak pasal gaya hidup Hashim akan berubah. Ini bukan saya kata tapi tuan tubuh sendiri yang kata.
Hashim kata macam ini kepada pemberita lepas konvensyen kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 12 Februari lalu:
“Saya ni Mursyidul Am dan (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang Presiden PAS. Saya pakai kereta (Proton) Saga saja. Kalau ada RM90 juta, tak kan saya pakai kereta Saga saja. Itu terjawablah rasanya.
“Rumah saya pun dalam nilai RM50,000 hingga RM60,000 sahaja. Kalau kami (PAS) ada RM100 juta, apa nak jadi, kolam renang tiga saya akan buat.”