Wednesday 11 January 2017

MB dapat kebenaran cabar status sulit 1MDB azminali osa 1mdb


Permohonan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan seorang bekas ahli Umno Muhammad Zahid Md Arip untuk mencabar status sulit laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 kini akan didengar berdasarkan merit.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak bantahan awal oleh jabatan peguam negara yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu dalam kamar. Kedua-dua permohonan kini akan didengar berdasarkan merit sepenuhnya.
Azmin dan Zahid yang membuat permohonan secara berasingan.
Azmin diwakili oleh peguam kanan Tommy Thomas manakala Mohd Hamiff Khatri Abdulla mewakili Zahid.
Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan berhujah plaintif tidak mempunyai kedudukan undang-undang dan bahawa permohonan mereka adalah remeh dan menyusahkan.
Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR, tahun lalu memfailkan permohonan semakan kehakiman dan menamakan Najib, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan kerajaan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.