Tuesday 3 January 2017

MP: Halalkah pergi haji guna wang 1MDB dari Pulau Cayman?

Tun Mahathir Mohamad tidak salah mempersoalkan sumber dana Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sama ada wajar ia digunakan untuk menaja jemaah haji di Makkah, kata ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Raja Kamarul berkata perkara itu juga dibangkitkan beliau di Parlimen dua tahun lalu, selepas pendedahan bahawa 1MDB melabur dana di kepulauan Cayman.
"Saya sendiri sudah berkali kali bertanya di Parlimen sejak dua tahun lepas mengapa wang 1 MDB telah dilaburkan di sistem kewangan kepulauan Cayman, iaitu pusat terkenal simpanan wang judi, dadah dan kongsi gelap terkenal dunia, dan adakah sumber wang ini digunakan untuk membiayai haji oleh 1MDB ?
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak memberi jawapan yang jelas selain dari menyatakan "ia adalah pelaburan jangka masa pendek".
"Kalau perbuatan itu haram ia tetap haram walaupun untuk jangka masa pendek kerana ada banyak lagi pilihan lain yang halal," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu, katanya, banyak rahsia mengenai pelaburan 1MDB di tempat haram terbongkar seperti pelaburan dalam kelab malam terkenal di Las Vegas berjumlah ratusan juta dollar dan penerbitan filem berunsur lucah, Wolf Of Wall Street.
"Selebriti Hollywood Leonardo DeCaprio yang menjadi pelakon utama memberi kesanggupan memulangkan wang diterima beliau kepada rakyat Malaysia jika ia merupakan wang diperolehi dengan tidak sah," kata Raja Kamarul.