Friday 2 June 2017

S'wak Report dakwa peguam kanan terima RM9.5 juta dari Najib

Laman web Sarawak Report hari ini mendakwa seorang peguam kanan terkenal menerima RM9.5 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu kenyataan, laman web itu berkata, bahawa bayaran itu dibuat melalui akaun bank milik perdana menteri, yang menerima dana daripada syarikat milik negara, SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Ia berkata nombor akaun bank itu adalah sama yang dipaparkan dalam dokumen yang dipegang oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali apabila beliau ‘membersihkan’ Najib daripada sebarang salah-laku dalam kes SRC International pada Januari tahun lalu.
SRC International adalah penerima pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Sarawak Report mendakwa bayaran kepada peguam kanan itu, yang sering terlibat dalam kes berprofil tinggi, dibuat melalui dua peringkat.
Bayaran pertama sebanyak RM4.3 juta didakwa dipindahkan pada 11 Sep 2013 dan ini diikuti dengan bayaran RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Thursday 1 June 2017

Polis soal siasat lima pengarang The Star

Lima pengarang dan seorang jurugambar dari The Star hari ini disoal siasat oleh polis berhubung muka depan kontroversi akhbar berkenaan Sabtu lalu.
Peguam mereka, Amer Hamzah Arshad berkata keenam-enam mereka disoal mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan berhubung dakwaan kesalahan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
"Rakaman kenyataan berjalan lancar. Kami percaya pihak polis akan menyiasat perkara itu secara adil dan objektif," kata Amer Hamzah kepada Malaysiakini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan berhubung soalan yang diajukan, tetapi memberitahu soal siasat mengambil masa dua jam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, akhbar harian berbahasa Inggeris itu akan disiasat kerana menghasut selepas beberapa laporan polis dibuat ke atasnya.