Thursday 16 March 2017

Mahkamah tolak permohonan kanak-kanak jadi warganegara

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak dua permohonan berasingan, yang pertama oleh ibu bapa angkat dan kedua, oleh seorang bapa kandung yang memaksa Jabatan Pendaftaran Negara untuk memberikan kewarganegaraan kepada 'anak-anak' mereka.
Panel tiga hakim memutuskan bahawa walaupun budak lelaki itu dilahirkan di Malaysia, adalah perlu bagi pemohon membuktikan kanak-kanak itu bukan tanpa kerakyatan atau warga negara lain.
Pemohon juga perlu membuktikan berdasarkan prinsip jus soli (kewarganegaraan hak lahir) dan jus sanguinis yang mana kewarganegaraan bukan ditentukan oleh tempat lahir tetapi mempunyai satu atau kedua-dua ibu bapa yang adalah rakyat negara itu.
Hakim Datuk Badariah Sahamid, berkata dalam kes Than Siew Beng dan anak angkatnya yang berusia 18 tahun itu, terdapat persoalan mengenai keturunan kanak-kanak itu kerana beliau diambil oleh ibu bapa angkat tanpa mereka mengetahui susur galurnya.
Budak yang kini berusia 18 tahun itu dilahirkan di sebuah poliklinik di Ampang dan diambil oleh ibu bapa angkatnya yang mendaftarkan sijil kelahiran yang dikeluarkan di bawah nama mereka.

Walau bagaimanapun, JPN membatalkan kewarganegaraan kanak-kanak itu apabila dia memohon kad pengenalan selepas jabatan itu mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
Hakim Badariah berkata, tiada pertikaian bahawa kanak-kanak itu dilahirkan di poliklinik berkenaan dan telah memenuhi keperluan jus soli. Namun, terdapat persoalan tentang susur galurnya pada masa kelahiran.
Hakim itu memetik kes Ong Boon Hua di mana beban adalah ke atas pemohon untuk membuktikan kesnya, dan kegagalan berbuat demikian akan membawa padah.
"Oleh kerana ibu bapa angkat gagal membuktikan keturunan kanak-kanak itu, mahkamah bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa prinsip jus sanguinis tidak dipenuhi," katanya.
Panel hari ini diketuai oleh Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan anggota ketiga adalah Hakim Datuk Harminder Singh Dhaliwal.
Kes kedua membabitkan permohonan Lim Jian Hsian yang memohon anaknya yang berusia tujuh tahun, dan dilahirkan oleh seorang wanita warga Thailand, diisytiharkan sebagai warganegara, juga ditolak.
Pasangan itu tidak berkahwin dan wanita itu kemudian meninggalkan Lim, dengan nenek sebelah bapa menjaga kanak-kanak tersebut.
Hakim itu berkata, anak luar nikah Lim itu bermakna bahawa dia tidak akan dipertimbangkan tanpa kerakyatan, kerana anak itu boleh mengambil kewarganegaraan Thai berdasarkan kerakyatan asal ibu kandungnya.

No comments:

Post a Comment