Friday 21 October 2016

Sultan S'gor ingatkan hakim pertahan kebebasan kehakiman


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan para hakim dan pegawai kehakiman supaya sentiasa
mempertahankan integriti dan kebebasan kehakiman.

Baginda bertitah, penghormatan kepada penghakiman dan keputusan mahkamah adalah bergantung kepada keyakinan orang ramai terhadap integriti dan kebebasan hakim-hakim yang membuat keputusan tanpa takut atau berpihak.
   
Sehubungan itu, titah baginda, hakim-hakim hendaklah membuat keputusan secara profesional berdasarkan perlembagaan dan lunas undang-undang tanpa dipengaruhi oleh kepentingan pihak-pihak tertentu, desakan pendapat umum atau takut dikritik.

"Para hakim hanya boleh berpihak kepada Perlembagaan dan undang-undang sahaja dan tidak kepada pihak yang lain.

"Sesungguhnya, kebebasan, keamanan, kemajuan dan kedaulatan undang-undang hanya boleh ditegakkan dan dijamin sekiranya rakyat mempunyai keyakinan penuh terhadap kebebasan dan integriti badan kehakiman," titah baginda ketika
merasmikan bangunan baharu Mahkamah Klang hari ini.

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Sultan Sharafuddin turut memuji pendekatan Badan Kehakiman Malaysia yang telah mengambil langkah untuk melantik hakim dalam kalangan peguam bela dan peguam cara yang berkelayakan, berbakat dan berintegriti.

Titah baginda, pendekatan ini akan menggalakkan kepelbagaian kepakaran dan pengetahuan undang-undang dalam Badan Kehakiman Malaysia bagi menghadapi cabaran permasalahan undang-undang semasa di Malaysia.

Sultan Sharafuddin dalam pada itu berterima kasih kepada Badan Kehakiman Malaysia yang berjaya membina bangunan tambahan di Mahkamah Klang bagi membolehkan kesemua Mahkamah Sesyen dan Majistret ditempatkan dalam satu kawasan yang sama selain memberi keselesaan kepada orang ramai untuk berurusan dengan pihak mahkamah.

Baginda turut menggesa para hakim, pegawai-pegawai kehakiman dan semua kakitangan Mahkamah Selangor supaya dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, mesra pelanggan dan mengutamakan sikap profesionalisme pada setiap masa dan keadaan.

Sementara itu, Arifin dalam ucapannya berkata bangunan tambahan Mahkamah Klang setinggi empat tingkat yang bernilai RM48.3 juta ini dibina berkonsepkan mahkamah teknologi yang lengkap dengan sistem e-kehakiman iaitu mempunyai sistem rekod serta transkrip (CRT).

Beliau berkata, bangunan baharu ini turut dilengkapi dengan bilik saksi bermasalah yang disediakan khusus bagi membantu saksi-saksi yang sukar memberi keterangan di mahkamah terbuka seperti mangsa dera, mangsa kesalahan seksual dan bagi kes melibatkan kanak-kanak iaitu mereka boleh memberi keterangan menggunakan kemudahan sidang video.

"Satu lagi ciri mahkamah pintar adalah terdapatnya bilik kebajikan khusus untuk kanak-kanak. Saya percaya dengan adanya kemudahan sebegini dapat membantu melicinkan prosiding mahkamah selain dapat melindungi saksi-saksi bermasalah dan kanak-kanak.

"Langkah-langkah ini diambil bagi menjamin saksi-saksi dapat memberi keterangan terbaik di mahkamah dan juga dapat membantu mereka dalam mengatasi sebarang tekanan yang berbangkit daripada memberi keterangan di mahkamah,"
katanya.

No comments:

Post a Comment