Monday 19 September 2016

Kes Bunuh Sosilawati: Pendengaran Rayuan Bermula 31 Oktober


Diterbitkan: Khamis, 15 September 2016 4:25 PM
Sosilawati.
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan pendengaran rayuan empat lelaki yang didapati bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya, selama tujuh hari bermula 31 Oktober depan.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili seorang daripada perayu, R. Matan mengesahkan tarikh pendengaran rayuan anak guamnya ditetapkan dari 31 Oktober hingga 8 November, kecuali pada hujung minggu.
Tarikh pendengaran itu ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes yang lepas  di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, pada 9 Jun tahun ini.
Bekas peguam, N.Pathmanabhan dan pekerja ladang T. Thilaiyalagan, Matan, dan R.Kathavarayan dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Mei 2013, kerana membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati,  Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Wednesday 14 September 2016

Penasihat Undang-Undang Mahu Dapatkan Penjelasan KDN Berhubung Pertemuan Dengan Anwar


Diterbitkan: Selasa, 13 September 2016 10:09 PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Kimberley Motley, penasihat undang-undang antarabangsa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dilantik, pada Selasa cuba mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengapa beliau tidak dibenarkan bertemu bekas ketua pembangkang itu di Penjara Sungai Buloh.

Ketika ditemui di perkarangan KDN di sini, Motley berkata beliau diberitahu bahawa pegawai berkenaan tidak berada di pejabat bagi memberi penerangan kepadanya.

Motley, yang berpejabat di Amerika Syarikat dan dijadual meninggalkan Malaysia pada Rabu, berkata beliau akan cuba menemui Anwar pada prosiding mahkamah berikutnya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Friday 9 September 2016

Mahkamah Rayuan Batal Pertuduhan Terhadap Pengerusi Bersih 2.0



Maria Chin Abdullah
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membatalkan pertuduhan dikenakan terhadap pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang didakwa gagal memberikan notis kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan pada tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan terdapat merit untuk membenarkan rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan membatalkan pertuduhan itu.

Beliau berkata mana-mana undang-undang termasuk penghakiman mahkamah tidak boleh diguna pakai secara kebelakangan.

Turut bersidang bersama-sama Tengku Maimun ialah Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Kamardin Hashim.

Dengan keputusan itu, Chin, 60, tidak perlu berdepan perbicaraan bagi  pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Wednesday 7 September 2016

Tiga Warga Asing Ditembak Mati Di Seremban


Diterbitkan: Selasa, 6 September 2016 3:16 PM
Ketua Polis Negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof menunjukkan pistol yang dirampas selepas polis menembak mati tiga penjenayah ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan pada Selasa. Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri T Narenasagaran (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Nor Azman Muhammad (dua, kanan). Foto Bernama
  (Ubah saiz teks)
SEREMBAN: Tiga penjenayah warga asing ditembak mati di Jalan Jimah Lama di sini awal pagi Selasa.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, mereka yang berusia lingkungan 40-an ditembak selepas mereka terlebih dahulu menembak anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri kira-kira 3.30 pagi.
"Anggota D9 yang melakukan rondaan di Jalan Jimah Lama-Mambau pada mulanya terserempak dengan sebuah kereta Proton Perdana dalam keadaan yang mencurigakan.
"Pihak polis telah mengarahkan kenderaan tersebut agar berhenti, namun pemandunya telah memecut kereta itu menyebabkan pihak polis terpaksa memintas kereta tersebut."Ia menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar tebing jalan. Pemandunya lalu keluar dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sementara  dua lagi rakannya juga keluar dari kereta dan cuba menyerang anggota polis dengan parang.

Permohonan Anwar Tangguh Perlaksanaan MKN Ditetapkan 14 Oktober


Mstar-Diterbitkan: Isnin, 5 September 2016 7:20 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menetapkan 14 Okt ini untuk mendengar hujahan lanjut bagi permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim  untuk mendapatkan perintah injuksi sementara bagi menangguhkan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Hakim Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh bahawa makamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan permohonan Anwar.
Amarjeet mewakili kerajaan Malaysia dan MKN.

Monday 5 September 2016

Ustaz Rotan Tiga Pelajar Tahfiz Direman Empat Hari


Mstar-Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2016 12:27 PM
  (Ubah saiz teks)
SUNGAI PETANI: Seorang ustaz ditahan reman bagi membantu siasatan kes tiga pelajar lelaki cedera dirotan di sebuah maahad tahfiz di sini yang menjadi viral di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Parit Buntar, Perak pada 10.10 malam tadi.
"Lelaki terbabit direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.
Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada dua pelajar terlibat berusia 12 dan 10 tahun, masing-masing berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Seorang lagi mangsa bagaimanapun belum dapat dihubungi, katanya.
Md Zukir berkata siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa dirotan kerana cuba melarikan diri dari maahad tahfiz itu ketika waktu subuh, Isnin lepas. 
Beliau berkata suspek yang merupakan ustaz ganti di maahad tahfiz itu mencari dan menemui pelajar terbabit berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Muda lalu membawa mereka pulang sebelum dirotan di dalam bilik kuliah di hadapan rakan-rakan lain.
"Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan lebam pada badan dan luka di kepala," katanya.
Gambar pelajar tahfiz dengan kesan rotan di badan dan kepala menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan dipukul seperti penjenayah.-- Bernama

Mahkamah Perintah Ganti Rugi Diberi Kepada Keluarga Tiga Remaja-Mstar 1.9.2016



Ibu kepada Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, Norhafizah Md Razali menitiskan air mata selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan tujuh anggota polis, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara serta kerajaan, bertanggungjawab ke atas tindakan tembak anaknya dan dua remaja lain pada 2010 dan memerintahkan mereka membayar ganti rugi kepada keluarga remaja berkenaan, Khamis. -fotoTHESTAR
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Usaha untuk mendapatkan keadilan selama hampir enam tahun bagi membersihkan nama anak-anak mereka yang didakwa ditembak polis, berjaya pada Khamis bagi keluarga tiga remaja.

Mahkamah Rayuan di sini membenarkan tuntutan yang dikemukakan keluarga  Muhammad Shamil Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 20, dan Muhamad Hanafi Omar, 22, terhadap polis dan kerajaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan tujuh anggota polis, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara serta kerajaan, bertanggungjawab ke atas tindakan tembak itu dan memerintahkan mereka membayar ganti rugi kepada keluarga remaja berkenaan.

Mahkamah membenarkan rayuan keluarga simati untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak tuntutan mereka terhadap polis dan kerajaan.

"Kami berpendapat hakim perbicaraan khilaf dalam mengatakan responden tidak bertanggungjawab," kata Hakim Zawawi yang bersidang dengan Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Hakim Mohd Zawawi mengembalikan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi bagi menilai jumlah ganti rugi. Beliau juga memerintahkan polis dan kerajaan supaya membayar kos sebanyak RM40,000 kepada keluarga tiga remaja itu.