Friday 29 July 2016

Mahkamah Tinggi batal keputusan UM terhadap lima siswa

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan keputusan lembaga disiplin Universiti Malaya mengenakan denda atau menggantung lima pelajarnya kerana menganjurkan dan menyertai perhimpunan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua tahun lalu.
Mereka ialah bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan ahli jawatankuasanya Safwan Shamsuddin, Adam Fistivil Wilfrid, Haw Yu Hong dan Khairol Najib Hashim.
Hakim Mohd Yazid Mustafa, dalam membenarkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan lembaga itu, memutuskan bahawa prosiding tatatertib tidak dijalankan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar) 1997.
Ia juga memutuskan bahawa Lembaga disiplin UM bertemu dengan lembaga rayuan, ia dilakukan tanpa kehadiran pelajar berkenaan. Kelima-lima mereka diwakili peguam New Sin Yew.
Universiti itu menggantung Fahmi selama dua semester dan denda RM600, manakala Safwan digantung selama satu semester dan didenda. Sementara pelajar lain hanya dikenakan denda.

 
Sponsored by Revcontent

Sri Ram: AG patut jujur, tak takutkan kuasa

Peguam negara (AG) menjadi harapan awam untuk bertindak jujur tanpa takut pada tampuk kuasa dalam menegakkan undang-undang, kata peguam kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata, sebagai penjaga kepentingan awam, AG patut bertindak tanpa pilih kasih terhadap sanak saudara, rakan-rakan, mahu pun penyokongnya.

“Masyarakat awam, yang beliau bertindak sebagai penjaga kepentingan mereka, mempunyai hak untuk menjangkakan beliau bertindak jujur, tanpa gerun terhadap tokoh-tokoh nasional dan tempatan.

Undang-undang dan perlembagaan memberikan AG kuasa eksklusif dalam mengawal hal ehwal jenayah secara jujur dan profesional.

Sri Ram berkata AG perlu mempertahankan kedaulatan undang-undang supaya tidak berlaku keadaan anarki dan mempertahankan standard kehidupan awam.

Beliau berkata demikian dalam penghujahan untuk semakan kehakiman yang dikemukakan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

Saturday 9 July 2016

Sistem Pantau Kegiatan Militan Di Kalangan Pelajar Asing Akan Dilaksana



  (Ubah saiz teks)
BESUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi melaksanakan satu sistem yang mengenakan peraturan kepada para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terutamanya pelajar asing bagi memantau kegiatan militan di kalangan mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata mekanisme itu perlu dilakukan bagi memastikan anasir kegiatan militan tidak menular di kalangan para pelajar yang menuntut di IPT di negara ini.
Dengan langkah itu juga, katanya, KPT dapat memberi tumpuan kepada setiap pelajar IPT terutamanya terhadap pelajar dari luar negara yang datang belajar di negara ini secara lebih teratur.
"Satu perjumpaan antara KPT dengan KDN akan diadakan bagi mendapatkan garis panduan sebelum sebarang sistem atau peraturan dibuat bersesuaian dan tidak pula akan menyusahkan sesiapa.

Penganalisis jangka lagi serangan IS di Malaysia

Penganalisis menjangkakan Malaysia akan berdepan dengan lebih banyak serangan daripada militan Negera Islam (IS) susulan pengesahan bahawa serangan pertama di sebuah kelab malam di Puchong bulan lalu berkaitan dengan kumpulan pengganas itu.
“Mengapa Malaysia adalah sasaran adalah kerana perjuangan atas sifat khusus dan minat Islamisasi di Malaysia," kata Meredith Weiss, profesor bersekutu, sains politik dengan The State University of New York di Albany, seperti yang dilaporkan olehForbes.
Menurut artikel itu, IS ‘tegar’ geram dan berang dengan pendekatan Islam yang sederhana di Malaysia dan juga pendirian keras kerajaan menentang kumpulan pengganas itu yang mahu menukar umat Islam menjadi lebih ‘alim’.

Thursday 7 July 2016

Lebih Ramai Suspek Dikait IS Ditahan - KPN



khalid abu bakar
Khalid Abu Bakar.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Beberapa lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS ditahan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid mengesahkan penahanan itu kepada The Star pada majlis rumah terbuka Hari Raya Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Khamis.

Beliau berkata, operasi memburu dua suspek serangan bom tangan di Puchong diteruskan.
"Mereka bersembunyi tetapi kita yakin kita boleh mengesan mereka," kata Khalid.
Operasi memburu dilakukan di seluruh negara terhadap Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 38, yang didakwa terlibat dalam insiden pengeboman di kelab malam di Puchong.
Beliau berkata, polis turut memantau rapi di laman web media sosial dan mengerah lebih ramai anggota ke kawasan sensitif, dan mengingatkan media untuk tidak menghebahkan aktiviti militan atau ancaman baharu mereka.
"Jangan kita memberikan mereka ruang dan peluang untuk menonjolkan diri mereka," kata Khalid.

S'wak Report dedah laporan sulit 'Audit Negara' siasat 1MDB

Laman web pendedah maklumat yang berpangkalan di London, Sarawak Report telah menerbitkan beberapa kandungan apa yang didakwa sebagai laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB walaupun dokumen berkenaan diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Sarawak Report telah mendapat akses meluas kepada laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, bersama-sama dengan dokumen utama yang disertakan hasil siasatan itu," katanya.
Laman itu menyenaraikan pelbagai kebimbangan yang dicatatakan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya, terutamanya berkaitan dengan beberapa pemindahan dana yang dipersoalkan.
Sarawak Report juga menyediakan butiran pemindahan dana berkenaan. Malaysiakini tidak mengesahkan sama ada laporan itu adalah sahih mahupun melaporkan kandungan tersebut kerana sekatan undang-undang.
Menurut portal itu, ia akan menerbitkan maklumat lanjut daripada laporan Ketua Audit Negara pada hari-hari akan datang.
Pada April lalu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak untuk membenarkan laporan Audit Negara mengenai 1MDB dibentangkan di Parlimen dengan alasan ia masih belum dinyah-rahsiakan.