Thursday 27 August 2015

BERSIH 4 referendum rakyat, kata bekas timbalan menteri



6146
 Zulaikha Zulkifli      Hari ini, 9:24 am      Hari ini, 10:26 am
Bekas timbalan menteri belia dan sukan Gan Ping Sieu berkata, perhimpunan BERSIH 4 akan menjadi referendum suara rakyat berhubung isu-isu yang berlaku di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Malah, bekas naib presiden MCA itu berkata, kehadiran orang ramai pada perhimpunan yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini juga adalah bertujuan bagi melahirkan rasa marah dan kecewa yang dihadapi rakyat berhubung pelbagai krisis yang melanda negara.
"Bagi saya BERSIH 4 adalah referendum rakyat tentang keadaan semasa di bawah pemerintahan Najib. Dan orang yang menghadiri BERSIH kerana satu sebab yang mudah iaitu mereka marah, kecewa dengan krisis yang dihadapi.
"Kita kena menegaskan bahawa perhimpunan ini ialah satu perhimpunan yang aman dan untuk menikmati Perlembagaan yang ada iaitu tentang hak untuk bersuara melalui aktiviti yang dianjurkan oleh BERSIH," katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum anjuran Malaysiakini yang bertajuk '1MDB: Protes Rakyat atau Dewan Rakyat'.
Antara panelis lain dalam forum itu ialah tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin, bekas timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah serta Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel Saifuddin pula berpandangan BERSIH 4 dilihat sebagai satu perhimpunan rakyat yang wajar disertai oleh semua parti politik terutamanya Umno.
Menurutnya, Umno perlu menjadi sebuah parti politik yang lebih komprehensif bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.
"BERSIH 4 sebahagian daripada proses demokrasi matang dan progresif. Jadi ia harus disokong oleh semua parti politik termasuk Umno dan BN.
"Umno perlu jadi parti politik yang lebih kompetitif kerana pilihan raya akan datang akan lebih kompleks.
"Umno tak boleh ke pilihan raya ke-14 dengan paradigma lama. Mesti pergi dengan perjuangan yang ditambah dengan satu harapan dan wacana baru," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment