Thursday 7 May 2015

Shuhaimi: Ucapan 'barua' khusus untuk IGP



Ungkapan ‘barua’ yang dinyatakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam ceramahnya di Permatang Pauh hanya ditujukan khusus kepada Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar dan bukannya kepada anggota polis secara keseluruhan.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Shuhaimi Shafiei berkata Mohamed Azmin sering mengingatkan supaya penyokongnya tidak bermusuhan dengan anggota polis, terutama yang menjalankan tugas dengan profesional.

“Kami sedar ramai anggota keselamatan dan polis terutama peringkat bawah telah menjalankan tugas dengan dengan baik dan hanya mengikut arahan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas desakan Persatuan Pegawai Kanan Polis yang ditandatangani pengerusinya Datuk Shah Gzali Khan Shahadad hari ini.

Ucapan demi kebaikan

Shah Gzali dalam kenyataan hari ini berkata, anggota polis menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat tanpa berkiblat kepada mana-mana fahaman politik, bangsa atau agama.

Kata Shuhaimi ungkapan diucap Mohamed Azmin itu dibuat demi kebaikan keseluruhan institusi polis kerana pasukan itu bukan saja perlu bebas daripada pengaruh politik tetapi benar-benar dilihat bebas oleh masyarakat.

“Dalam sekian banyak contoh, pimpinan tertinggi polis khususnya IGP sendiri haruslah menjalankan tugas dengan adil, wajar dan profesional, selain tidak bersuara seperti seorang ahli politik.

“Persoalan yang ditanya itulah yang perlu dijawab oleh IGP secara peribadi, bukannya membiarkan Persatuan Pegawai Kanan Polis mengeluarkan kenyataan yang sangat berbeza maksudnya,” katanya.

Shuhaimi menambah, walaupun polis berulang kali menegaskan pasukan itu tidak mencampuri urusan politik namun layanan lebih baik diberikan kepada Umno berbanding pembangkang.

Tahan lama, siasat beberapa minit

Beliau berkata demikian dengan mengambil contoh protes antisalib dan perhimpunan hari pekerja baru-baru ini.

Katanya meskipun kumpulan protes itu disoal-siasat, namun proses tersebut nampaknya jauh lebih ‘lembut’ berbanding yang dikenakan terhadap aktivis dan pimpinan Pakatan.

Katanya, ketika protes hari pekerja, puluhan anggota yang berhimpun itu ditahan berhari-hari dan tangkapan dibuat sehingga tengah malam walaupun proses soal siasat hanya mengambil beberapa minit.

“Apakah KPN tidak sedar hal itu? Kenapa perlu ada perbezaan layanan? ” katanya. 

No comments:

Post a Comment