Monday 25 May 2015

Kes BAFIA Rafizi Ditetapkan 19 Jun


Diterbitkan: Jumaat, 22 Mei 2015 3:24 PM
Mohd Rafizi Ramli.
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menetapkan 19 Jun depan bagi mendengar kes Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).
Hakim Zamri Bakar menetapkan tarikh itu berikutan Hakim Rozina Ayob yang mengendalikan kes berkenaan, menarik diri pada 15 Mei lepas.

Rozina membuat keputusan menarik diri daripada mendengar kes Mohd Rafizi selepas beliau menyedari mempunyai hubungan kekeluargaan dengan saksi utama kes tersebut iaitu Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Sehubungan itu, Rozina berkata semua prosiding permohonan ditangguhkan sehingga hakim baharu mengambil alih kes ini.

Pada 15 Mei lepas, mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Mohd Rafizi yang juga anggota Parlimen Pandan untuk merujuk ke Mahkamah Tinggi, tiga persoalan perlembagaan berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

Mohd Rafizi bersama-sama kerani bank Johari Mohamad yang dituduh bersubahat dengannya, memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Antara persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk Mohd Rafizi dan Johari di Mahkamah Tinggi adalah sama ada dakwaan terhadap mereka boleh diteruskan walaupun BAFIA telah dimansuhkan dan sama ada dakwaan di bawah BAFIA itu tidak berperlembagaan memandangkan unsur niat tidak dinyatakan sebagai elemen bagi kesalahan di bawah akta itu.

Mohd Rafizi, 38, yang juga Naib Presiden PKR mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat  and  Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari, 44, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama. Beliau didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.

No comments:

Post a Comment